Sistem giliran membolehkan anggota polis Islam selesa berbuka puasa

Sistem giliran bagi menempatkan anggota bukan Islam di SJR di daerah Barat Daya akan dilaksanakan sepanjang Ramadan ini.
Sistem giliran bagi menempatkan anggota bukan Islam di SJR di daerah Barat Daya akan dilaksanakan sepanjang Ramadan ini.
A
A
A

BALIK PULAU - Polis Daerah Barat Daya akan menjalankan sistem giliran sepanjang bulan Ramadan ini dengan menempatkan anggota polis bukan Islam di semua sekatan jalan raya ketika waktu Maghrib.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan anggota polis beragama Islam berasa selesa untuk berbuka puasa walaupun ketika di berada dalam tugasan.

Menurutnya, seramai 39 anggota bukan Islam keseluruhannya akan ditempatkan di lapan sekatan jalan raya secara bergilir-gilir bermula esok untuk tujuan tersebut.

"Sempena Ramadan ini, saya mengambil inisiatif dengan menempatkan 39 anggota bukan Islam di daerah Barat Daya di semua sekatan jalan raya ketika waktu berbuka puasa. Mereka akan mengambil alih tugas antara 20 hingga 30 minit bagi membolehkan anggota beragama Islam yang bertugas berbuka puasa dengan selesa selain menunaikan solat.

"Saya sendiri akan turun ke sekatan jalan raya untuk mengambil alih tugas pemeriksaan. Sistem giliran dibuat kerana kita hanya ada 39 anggota bukan Islam daripada 915 anggota di seluruh daerah ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini hari ini.

 AA Anbalagan
AA Anbalagan

Tambahnya, sehingga kini, 168 orang termasuk 59 warga asing ditahan di daerah Barat Daya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Sebelum ini, Anbalagan meminta semua majikan diminta menasihatkan pekerja warga asing mereka agar mematuhi PKP dan tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan, jumlah tangkapan warga asing di daerah Barat Daya antara yang tertinggi kerana didapati berada di luar rumah tanpa alasan munasabah.

Tambahnya, kebanyakan warga asing yang ditahan mengetahui tentang pelaksanaan PKP, namun tidak memahami kepentingan perintah tersebut.