Wanita UMNO dakwa dimarahi isu berbuka puasa

Mashitah (Gambar kecil: Laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu)
Mashitah (Gambar kecil: Laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu)
A
A
A

NILAI - Ketua Wanita UMNO Cawangan Nilai membuat laporan polis selepas mendakwa dimarahi oleh pimpinan parti tersebut berhubung isu berbuka puasa.

Mashitah Ahmad, 70, berkata, beliau tidak menyangka kehadirannya pada majlis berbuka puasa dianjurkan oleh bekas pimpinan parti itu telah dijadikan isu.

"Pada pagi semalam (Isnin) saya menerima mesej daripada pimpinan parti yang memarahi saya kerana menyertai majlis berbuka puasa diadakan oleh bekas pimpinan parti pada Ahad di Nilai.

"Dalam mesej yang dihantar kepada saya, beliau seolah-olah mahu mengancam membuat sesuatu kepada saya kerana kononnya saya menyokong kepimpinan lama," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Mashitah, beliau bimbang akan diapa-apakan ditambah pula dirinya yang merupakan warga emas.

Tambahnya, tidak sepatutnya hanya kerana beliau berbuka puasa dengan kepimpinan lama, beliau dimarahi sebegitu.

"Saya sangat sedih dan terkilan dengan apa berlaku. Saya juga takut diapa-apakan. Kenapa saya tidak boleh berbuka puasa dengan rakan-rakan lama dari parti?

"Walaupun sekarang UMNO Seremban diterajui kepimpinan baharu, tak bermaksud saya tak boleh bersama dengan kepimpinan lama. Lagi pun mereka juga kawan-kawan saya," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarop ketika dihubungi Sinar Harian menafikan beliau ada membuat ugutan kepada Ketua Wanita cawangan berkenaan.

"Tiada langsung istilah ugutan. Dari segi apa yang saya dikatakan cuba mengancam dia?

"Saya hanya menyatakan ketegasan sebagai Ketua UMNO Bahagian Seremban. Saya tak mahu UMNO Seremban berpecah-belah," katanya.

Ujarnya, beliau berpendapat perkara itu sengaja diperbesarkan bagi menjatuhkan imejnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malek Hasim mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara itu.