Pekerja kilang ditahan bawa syabu guna kereta sepupu

Anbalagan (depan) menunjukkan pakaian seragam, vest dan dadah yang dirampas daripada suspek.
Anbalagan (depan) menunjukkan pakaian seragam, vest dan dadah yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang pekerja kilang ditahan bersama sepupunya selepas polis menjumpai pelbagai jenis dadah di dalam kereta yang dipandu lelaki tersebut pada 17 April lalu.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 5.45 petang ketika dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya di Anjung Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, polis merampas 52 gram syabu, 200 biji pil eramin 5 serta beberapa peralatan polis termasuk pakaian seragam, sarung pistol, berey dan vest.

Menurutnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM10,200 dan ia dipercayai untuk pasaran di Balik Pulau.

"Susulan penahanan lelaki tersebut, polis menahan pemilik kereta Proton Persona iaitu sepupunya iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga seorang pekerja kilang. Barangan polis yang ditemui itu dipercayai miliknya berikutan dia adalah bekas anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

"Lelaki tersebut telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai SSPDRM sejak dua tahun lalu. Kita akan siasat mengapa semua barangan tersebut masih berada dalam simpanannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini hari ini.

Polis merampas dadah dan barangan PDRM dari kereta yang dipandu suspek pada 17 April lalu.
Polis merampas dadah dan barangan PDRM dari kereta yang dipandu suspek pada 17 April lalu.

Anbalagan berkata, kedua-dua suspek positif syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Suspek pertama mempunyai sembilan rekod lampau dan dia direman sehingga 24 April ini. Sementara itu, sepupunya mempunyai satu rekod lampau dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Mengikut pengakuan lelaki itu, dia tidak tahu tentang aktiviti sepupunya yang membawa sejumlah dadah menggunakan keretanya. Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung perkara itu akan dijalankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Peraturan (11) 1 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas didapati membawa sejumlah dadah jenis syabu dan pil Eramin 5 di SJR di Anjung Indah di sini.

Lelaki tersebut ditahan selepas polis mendapati keadaannya mencurigakan selain menggantung vest PDRM di dalam kereta dipandunya bagi mengaburi mata polis.