X

Kindly register in order to view this article
!

Prosiding permohonan Musa Aman batal 46 pertuduhan ditangguh

Musa Aman
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding permohonan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk membatalkan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan esok ditangguhkan.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Musa berkata, tarikh baharu prosiding permohonan itu akan ditetapkan kemudian.

"Kedua-dua pihak masih belum menyelesaikan penyerahan afidavit kerana pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, tarikh belum ditetapkan lagi. Mahkamah akan menetapkan tarikh setelah afidavit dikemukakan oleh kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Musa, 69, memfailkan permohonan itu pada 12 Februari lepas atas alasan pertuduhan dihadapinya tidak berasas.

Beliau menghadapi 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi kes rasuah, Musa didakwa sebagai Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Bagi kes pengubahan wang haram, Musa didakwa mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram melalui akaun berkenaan.

Bekas ketua menteri itu dituduh secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima AS$37,845,491.60 dan S$2.5 juta lagi hasil aktiviti haram daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes.

Musa juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!