Ceroboh tanah kerajaan tanam pokok ketum

Syahrul Nizam (kanan), Mohd Khairiel (dua dari kanan) dan Raja Norazli menunjukkan daun ketum yang ditanam di kawasan berkenaan.
Syahrul Nizam (kanan), Mohd Khairiel (dua dari kanan) dan Raja Norazli menunjukkan daun ketum yang ditanam di kawasan berkenaan.
A
A
A

JEMPOL - Hampir 1,000 pokok ketum dimusnahkan hari ini dalam operasi bersepadu di tanah milik kerajaan Negeri Sembilan seluas 12 hektar dekat kawasan ladang kelapa sawit di Felda Lui Selatan 2.

Pegawai Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, lokasi tersebut merupakan kali ketiga dimusnahkan oleh pihak penguat kuasa sejak dikesan pada 2015.

Menurutnya, operasi memusnahkan pokok ketum itu dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menceroboh tanah kerajaan

"Walaupun kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), usaha membanteras aktiviti jenayah tetap diteruskan oleh pihak penguat kuasa dengan kerjasama daripada pasukan polis," katanya pada sidang akhbar selepas selesai operasi di sini hari ini.

Turut serta dalam operasi sama, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin.

Kawasan penanaman pokok ketum di tanah kerajaan dimusnahkan dalam operasi bersepadu hari ini.
Kawasan penanaman pokok ketum di tanah kerajaan dimusnahkan dalam operasi bersepadu hari ini.

Terdahulu, seramai 35 anggota terlibat daripada pelbagai agensi dalam operasi tersebut yang bermula jam 10 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Mengulas lanjut, Syahrul Nizam berkata, pokok ketum jenis urat merah dan jambu kebanyakan ditanam di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini pihaknya masih mengesan pihak yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan tanah di kawasan berkenaan dan sekiranya didapati bersalah, pelaku boleh didenda sehingga RM10,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati daun ketum jenis jambu dijual dengan harga lebih RM100 per kilogram dalam pasaran manakala daun ketum urat merah RM40 per kilogram.

"Operasi ini dijalankan susulan serbuan di beberapa lokasi di sini yang melibatkan aktiviti memproses air ketum sebelum dijual di pasaran dengan harga sekitar RM12 sebungkus yang melibatkan pendakwaan mengikut Seksyen 33 Akta Racun 1952," katanya.