APMM Selangor perketat rondaan laut, udara kesan PATI

Anggota APMM Selangor memperketat operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar perairan Selangor dengan rondaan laut. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Anggota APMM Selangor memperketat operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar perairan Selangor dengan rondaan laut. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor akan terus memperketatkan rondaan laut dan pemantauan udara di perairan negeri ini bagi membendung jenayah rentas sempadan khususnya yang membabitkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Abdul Hakim Mohd Idris berkata, tujuan utama membendung kemasukan PATI adalah bagi mengelak risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, operasi yang dilaksanakan APMM sepanjang PKP adalah dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Berdasarkan risikan dan maklumat diterima, kita percaya masih terdapat cubaan PATI menyeludup masuk ke dalam negara. Namun dengan penguatkuasaan dan kerjasama bersama agensi lain, cubaan itu berjaya digagalkan.

"Apa yang kita kesan, pelbagai modus operandi cuba digunakan sindiket PATI antaranya menggunakan bot nelayan dan bot laju bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian selepas melakukan rondaan di perairan Selangor di sini hari ini.

Anggota APMM Selangor memperketat operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar perairan Selangor dengan rondaan laut. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Anggota APMM Selangor memperketat operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar perairan Selangor dengan rondaan laut. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata, setakat ini, tiga lelaki warga tempatan telah dikenal pasti disyaki adalah tekong darat yang berperanan membawa masuk PATI dan usaha mengesan terus dipergiat.

Katanya, bagaimanapun, sepanjang PKP sejak 18 Mac lalu, tiada kemasukan PATI dikesan mendarat di perairan Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya kemasukan mereka terbatas disebabkan PKP dan sekatan jalan raya di seluruh daerah khususnya di Selangor," katanya.

Selain itu, Abdul Hakim turut tidak menolak kemungkinan akan berlakunya peningkatan cubaan PATI untuk pulang ke negara asal melalui laluan tidak sah menjelang bulan Ramadan.

"Setakat ini kemungkinan itu ada, memang PATI ini akan keluar kerana sepanjang PKP ini mereka tidak bekerja dan seumpamanya," katanya.

Justeru, tambahnya, APMM memberi amaran keras ke atas sindiket ini kerana pihaknya sentiasa meningkatkan rondaan dengan kerjasama penguatkuasa lain bagi menyekat kemasukan PATI dan akan menggunakan pelbagai cara untuk memburu dalang sindiket terbabit. Tindakan akan diambil mengikut Akta Antipemergadangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.