Pantai Punggur Dunkirk Tanah Melayu

Mohd Azlan di Pantai Punggur.
Mohd Azlan di Pantai Punggur.
A
A
A

BATU PAHAT - Siapa sangka Pantai Rekreasi Punggur di sini, pernah merakam satu peristiwa besar kekal ‘tersembunyi’ dalam catatan atau di rak perpustakaan sama ada di dalam atau di luar negara.

Selama ini, pantai rekreasi tersebut hanya dikunjungi penduduk tempatan untuk mendapatkan ikan segar dari nelayan Punggur atau melihat pemandangan indah Pantai Rekreasi Punggur.

Namun, di sebalik ketenangan tersebut, pada hari ini menyimpan satu peristiwa penting semasa Perang Dunia Kedua tanggal 6 Februari 1942 dikenali sebagai ‘Malayan Dunkirk’.

Pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat, Mohd Azlan Mohd Sharif berkata, hasil kajian bersama rakannya, wujud beberapa catatan yang menerangkan peristiwa ini.

2,000 tentera British diselamat RAMD

Mohd Azlan berkata, dalam buku tulisan David Mitchell bertajuk ‘Tea, Love and War Searching For English Root In Assam’ menerangkan Malayan Dunkirk ini sebagai kapal perang British dan kapal patrol dikendalikan angkatan laut.

“Jangan bayangkan peristiwa hebat di Punggur ini dengan menonton filem perang dan sejarah bertajuk Dunkirk pada 2017 hasil tulisan Christopher Nolan berdasarkan kisah sebenar yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua bermula 26 Mei hingga 4 Jun 1940 di Dunkirk, Perancis.

“Tetapi cuba bayangkan tentera menantikan keajaiban adanya aksi penyelamatan atau sampai mereka mati.

“Menariknya filem ini dikisahkan dari tiga sudut pandang berbeza iaitu The Mole (Darat), Sea (Laut) dan The Air (Udara),” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, carian lanjut di internet menggunakan kata kunci ‘Malayan Dunkirk’, ‘the Battle of Senggarang’, ‘John Noel Duckworth’, ‘Leftenan Ibrahim Alla Ditta’ bersama Mohd Razali juga menjumpai fakta mengejutkan.

Katanya, hasil carian tersebut menemui fakta seramai 2,000 tentera British berjaya diselamatkan di Punggor oleh pasukan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

“Terdapat juga beberapa pegawai tentera yang terlibat seperti Leftenan Ibrahim Alla Ditta (penerima Military Cross), Leftenan Yazid Ahmad, 2nd Leftenan Mohd Ali memainkan peranan yang sangat penting membantu tentera British daripada serangan tentera Jepun dalam permulaan Perang Dunia II dalam peristiwa dikenali ‘The Battle of Senggarang’.

“Merujuk Buku ‘When Singapore Fell Evacuations And Escapes, 1941-42’ ditulis Joseph Kennedy, menceritakan apa yang berlaku dalam ‘The Battle of Senggarang’ dan ia perlu diketahui peminat sejarah dan veteran perang yang berasal atau tinggal di Batu Pahat,” katanya.

Popularkan lokasi bersejarah

Menurutnya, semasa melawat Pantai Punggur baru-baru ini, sayup kelihatan Gunung Banang yang setinggi 1,412 kaki dan luas pandangan Selat Melaka yang juga lokasi The Battle of Senggarang: Malayan Dunkirk.

Katanya, lokasi tersebut mempunyai nilai sejarah begitu tinggi, namun sayang belum ada sebarang usaha mengangkat kawasan berkenaan sebagai produk pelancongan antarabangsa.

“Jadi, saya memohon Adun Senggarang, Ir Khairuddin Abdul Rahim; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dan Exco Belia, sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar untuk memainkan peranan ini.

“Antara yang boleh dilakukan adalah menjemput Menteri Pertahanan Malaysia, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Pengarah Yayasan Warisan Johor, Pegawai Daerah Batu Pahat, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Kedutaan Jepun ke Malaysia melawat lokasi bersejarah ini,” katanya.

Jelasnya, kajian terperinci perlu dilakukan bagi mengesahkan dakwaannya, selain senarai waris terlibat di dalam The Battle of Senggarang: Malayan Dunkirk perlu dikenalpasti dan dibawa ke Punggur bagi mengesahkan kisah itu.

Katanya, sekiranya peristiwa ini benar berlaku, sejarah di Batu Pahat menjadi semakin menarik di mata dunia dan perlu diambil perhatian oleh Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat dan Universiti Tun Hussein Malaysia.