Perkukuh kefahaman agama, literasi digital bendung penyelewengan akidah

KES seorang pemuda Melayu berusia 21 tahun yang didakwa terlibat pelbagai ritual keagamaan bukan Islam, pemujaan, ramalan kad Tarot termasuk ajaran New Age Movement (NAM) wajar menjadi peringatan tentang cabaran pemeliharaan akidah dalam era globalisasi serta media sosial.
Pendedahan tular di media sosial sejak Khamis lalu mencetuskan persoalan mengenai keberkesanan pendidikan agama dalam membimbing golongan muda menilai pengaruh spiritual yang semakin mudah diakses.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dalam kenyataan terbaharu memaklumkan bahawa tindakan sedang diambil bersama pihak berkuasa bagi membolehkan penelitian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut lunas perundangan.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam.
Bagaimanapun, katanya, sebarang tindakan mesti berasaskan fakta dan hasil siasatan demi memelihara keadilan serta keharmonian masyarakat.
Bagi mengekang gejala seumpama ini daripada merebak, pendekatan pendidikan dan pencegahan perlu bergerak seiring dengan penguatkuasaan.
Institusi keagamaan, keluarga, sekolah dan universiti perlu memperkukuhkan kefahaman akidah melalui pendekatan yang relevan dengan realiti anak muda, bukannya bergantung pada ceramah berbentuk larangan atau hukuman semata-mata.
Pada masa sama, pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mesti mempergiatkan pemantauan kandungan digital berunsur mempromosikan ajaran mengelirukan, termasuk yang berselindung di sebalik pembangunan kendiri, ramalan spiritual dan amalan alternatif.
Kerajaan sebelum ini turut menekankan pengukuhan pemantauan ajaran menyeleweng di platform siber.
Namun, usaha membendung pengaruh tersebut tidak seharusnya berakhir dengan kecaman terbuka atau penghukuman berdasarkan video tular.
Pendekatan sedemikian berisiko menimbulkan stigma, mendorong individu menjauhkan diri daripada keluarga dan komuniti serta menutup ruang untuk mendapatkan bimbingan sewajarnya.
Sebaliknya, kaunseling, dialog berhemah dan bimbingan agama bersesuaian perlu dipertimbangkan mengikut keadaan individu.
Ketegasan mempertahankan akidah tidak wajar dijadikan alasan untuk menyebarkan kebencian atau melakukan diskriminasi terhadap penganut agama lain.
Tuntasnya, benteng paling berkesan bukan sekadar penguatkuasaan, tetapi pembinaan kefahaman agama, pemikiran kritis dan sokongan sosial yang sihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
