Pemuda Melayu didakwa terlibat ritual agama bukan Islam disiasat - Menteri Agama

SHAH ALAM - Tindakan dan siasatan lanjut dijalankan terhadap dakwaan seorang pemuda Melayu yang didakwa terlibat dalam amalan ritual keagamaan bukan Islam susulan penularan rakaman video berkaitan di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penelitian dan siasatan lanjut akan dilaksanakan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sebarang tindakan diambil berasaskan fakta dan hasil siasatan pihak berautoriti demi memelihara keadilan serta keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pendedahan terbaharu membabitkan seorang pemuda Melayu berusia 21 tahun yang didakwa mengamalkan pelbagai ritual keagamaan, ramalan kad Tarot dan kepercayaan spiritual lain termasuk ajaran New Age Movement (NAM) menggemparkan masyarakat.
Pendedahan itu dibuat satu per satu menerusi hantaran Facebook yang menggunakan nama akaun Masyitah Ashari sejak tiga hari lalu.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya mengambil maklum dan memandang serius penularan video tersebut di media sosial.
Menurut beliau, kerajaan tegas dalam memelihara kesucian akidah umat Islam dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
