Orang utan melecur redah kebakaran hutan Borneo

PALANGKARAYA – Beberapa lagi orang utan menjadi mangsa kebakaran hutan di Borneo, Indonesia apabila ia ditemukan berpaut pada pokok ketika kawasan sekitarnya diselubungi asap tebal.
Haiwan digelar Novita itu antara puluhan spesies tersebut yang diselamatkan di beberapa kawasan di Sumatera dan Borneo yang musnah dijilat api sejak beberapa bulan lalu.
Seekor lagi orang utan jantan digelar Bara turut diselamatkan dari kawasan berjerebu pada awal minggu lalu selepas ia meredah kawasan kebakaran masih marak.
Pegawai agensi pemuliharaan sumber asli tempatan, Handi Nasoka berkata, Bara mengalami kesan melecur ringan dan kini dirawat di sebuah kawasan perlindungan alam semula jadi di Kalimantan Tengah.
Sementara itu, Novita yang dianggarkan berusia tiga hingga empat tahun masih menerima rawatan rapi akibat kecederaan serius di Pusat Pemulihan Nyaru Menteng di Palangkaraya.
Data kerajaan menunjukkan lebih 202,000 hektar kawasan musnah akibat kebakaran dalam tempoh Januari hingga Julai manakala Projek Nusantara Atlas yang menggunakan pemantauan satelit menganggarkan hampir 896,000 hektar kawasan telah terbakar menjelang akhir Ogos. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

