Myanmar tahan 323 individu dalam operasi buru sindiket scam

Pihak berkuasa Myanmar turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.- Agensi
Pihak berkuasa Myanmar turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.- Agensi
A
A
A

YANGON – Seramai 323 individu, termasuk 302 warga China dan 21 wanita Myanmar, ditahan dalam operasi membanteras kegiatan penipuan dalam talian serta perjudian haram di negeri Shan, selatan Myanmar.

Operasi yang dijalankan pasukan keselamatan bersama itu berlangsung kira-kira jam 6.30 pagi berhampiran Kampung Warmpon, daerah Kehsi, selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian di kawasan berkenaan.

Menurut laporan *Global New Light of Myanmar*, serbuan itu membawa kepada penemuan sebuah kompleks yang menempatkan lima khemah operasi sementara, lapan khemah kediaman, sebuah ruang dapur dan sebuah bangunan penyimpanan barang.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 301 lelaki dan seorang wanita warga China serta 21 wanita Myanmar.

Pihak berkuasa turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.

Antara barangan yang dirampas ialah 54 komputer riba, 217 telefon bimbit, lima komputer jenis *all-in-one*, 33 penerima internet satelit Starlink dan 30 penghala internet.

Turut dirampas 15 unit stesen janakuasa bersaiz besar, dua unit bersaiz kecil, enam stesen solar, lapan alat penyejuk udara serta sebuah generator besar.

Selain peralatan elektronik, pihak berkuasa menemui beberapa senjata api termasuk pistol Beretta.22, pistol CZ 9mm, senapang Smith.22 dan lima raifal AK-47 bersama empat kelopak peluru.

Menurut hasil soal siasat yang dilaporkan pihak berkuasa, warga China yang ditahan dipercayai datang dari beberapa wilayah di negara itu sebelum memasuki Myanmar secara haram untuk menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dan perjudian.

Artikel Berkaitan:

Mereka dikatakan berhubung melalui platform media sosial seperti TikTok, Telegram dan QQ sebelum memasuki negara berkenaan.

Sindiket itu dipercayai menyasarkan individu berada di China menerusi aplikasi WeChat, Momo dan QQ dengan membina hubungan mesra sebelum memujuk mangsa menyertai pelaburan atau usaha sama perniagaan.

Selepas mangsa memindahkan wang, suspek didakwa memutuskan semua hubungan komunikasi.

Kumpulan itu dipercayai sudah beroperasi di kawasan berkenaan selama kira-kira 40 hari sebelum kegiatan mereka terbongkar.

Pihak berkuasa Myanmar memaklumkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap semua individu yang ditahan selepas proses siasatan dan soal siasat selesai.

Peralatan yang dirampas turut akan dikendalikan mengikut prosedur ditetapkan.

Myanmar sebelum ini berdepan tekanan serantau dan antarabangsa untuk membanteras pusat penipuan dalam talian yang beroperasi di beberapa kawasan sempadannya dan dikaitkan dengan kegiatan penipuan kewangan, perjudian haram serta pemerdagangan manusia.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!