'Gadis bawah umur' peras ugut wang lelaki untuk beli susu anak

SINGAPURA – Terdesak mendapatkan wang untuk membeli susu tepung dan keperluan bayi, seorang ibu muda di Singapura merancang kegiatan pemerasan terhadap lelaki yang dikenalinya menerusi aplikasi janji temu.
Wanita berkenaan, Nadirah, 19, dan teman lelakinya, 22, ketika itu menggunakan taktik mengugut mangsa dengan ancaman membuat laporan polis atas dakwaan cuba melakukan hubungan seks dengan individu bawah umur.
Kegiatan itu dilakukan kira-kira dua tahun lalu ketika Nadirah baru melahirkan anak perempuan mereka dan tidak mempunyai pekerjaan, manakala teman lelakinya sedang menjalani khidmat negara serta dibebani hutang.
Menurut laporan The Straits Times, teman lelaki Nadirah turut bekerjasama dengan satu lagi pasangan untuk melaksanakan rancangan berkenaan.
Dalam satu kejadian, seorang lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi temu janji didakwa membuat pendekatan terhadap Nadirah sebelum mereka mengugut untuk melaporkannya kepada polis atas dakwaan cuba melakukan hubungan seks dengan individu bawah umur.
Lelaki itu akhirnya menyerahkan wang sebanyak S$500 (kira-kira RM1,650) bagi menyelesaikan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar apabila Nadirah, teman lelakinya dan pasangan terbabit ditahan pihak berkuasa tidak lama kemudian.
Nadirah merupakan antara 662 pesalah juvana perempuan yang ditahan di Singapura pada 2024.
Dia dikenakan perintah percubaan selama 18 bulan atas kesalahan pemerasan, manakala teman lelakinya dijatuhi hukuman menjalani latihan pemulihan (reformative training).
Sepanjang tempoh percubaan, Nadirah mengikuti sesi kaunseling dan program keibubapaan yang membantunya memahami kesilapan serta mengubah cara membuat keputusan.
Dia mengakui sebelum ini terlalu memikirkan wang sehingga mengabaikan pertimbangan mengenai baik dan buruk sesuatu tindakan.
"Pada masa lalu, saya tidak memikirkan sama ada sesuatu perkara itu betul atau salah. Saya hanya fikir saya perlukan wang dan wang boleh menyelesaikan semuanya. Tetapi sekarang saya lebih memikirkan akibatnya," katanya.
Nadirah yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berkata, kehidupannya ketika kecil dipenuhi masalah keluarga dan tekanan kewangan.
Bapanya pernah dipenjarakan atas kesalahan berkaitan dadah, manakala ibunya terpaksa membesarkan anak-anak dengan pendapatan rendah serta bantuan kewangan kerajaan.
Berasa kesunyian dan memerlukan sokongan emosi, Nadirah mula menjalinkan hubungan romantik sejak berusia 15 tahun sebelum menjadi ibu ketika berusia 16 tahun.
Kini, selepas menjalani tempoh percubaan, dia mula bekerja sambilan sebagai pelayan restoran dan belajar mengurus kewangan dengan lebih baik.
Teman lelakinya juga kini bekerja sebagai cef serta membantu menyara anak perempuan mereka yang berusia dua tahun.
Nadirah berkata, pengalaman menjalani hukuman percubaan menyedarkannya bahawa dia perlu lebih bertanggungjawab terhadap anak sendiri.
"Saya sedar saya mempunyai seorang anak perempuan yang perlu ditanggung. Jadi, saya tidak boleh terus melakukan perkara yang tidak sepatutnya," katanya.
Dia berharap anaknya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
