Ditanya cara atasi kebakaran hutan, Gabenor jawab ‘Bersatu teguh, bercerai kahwin lagi’

JAKARTA - Gabenor Kalimantan Tengah, Agustiar Sabran mencuri perhatian selepas mengeluarkan kenyataan berseloroh mengenai perceraian dan perkahwinan semula ketika ditanya mengenai langkah menangani kebakaran hutan dan tanah di wilayah berkenaan.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, Agustiar pada mulanya menjelaskan bahawa kebakaran hutan dan tanah sebahagian besarnya berpunca daripada perbuatan manusia.
"Kebakaran hutan dan tanah sememangnya membawa kesan. Hampir 97 peratus kejadian ini berpunca daripada perbuatan manusia," katanya.
Bagaimanapun, ketika menjelaskan pendekatan untuk menangani masalah berkenaan, beliau secara berseloroh mengubah ungkapan popular mengenai kepentingan perpaduan kepada ungkapan berkaitan perkahwinan.
"Cara mengatasinya adalah dengan melawan. Kerana bersatu kita teguh, bercerai kita kahwin lagi," katanya.
Menurut laporan Tribun Manado, kenyataan luar jangka itu mencetuskan perhatian apabila Agustiar menggunakan ungkapan berunsur rumah tangga ketika membincangkan isu serius membabitkan kebakaran hutan.
Rakaman tersebut turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mempersoalkan maksud kenyataan beliau, selain ada yang menganggapnya sebagai gurauan.
Kenyataan itu menjadi perhatian ketika Kalimantan Tengah terus berdepan kebakaran hutan dan tanah yang meluas susulan keadaan cuaca kering.
Berdasarkan data Pos Komando Penanganan Darurat Kebakaran Hutan dan Tanah Kalimantan Tengah setakat 7 Oktober lalu, sebanyak 5,848 kejadian kebakaran direkodkan dengan keluasan kawasan terbakar melebihi 17,000 hektar.
Seramai 13,699 anggota daripada pelbagai agensi turut dikerahkan bagi melaksanakan operasi pencegahan dan pemadaman kebakaran.
Kerajaan wilayah itu juga membina ratusan telaga tiub bagi membantu operasi pemadaman, selain membekalkan sumber air bersih kepada penduduk yang terjejas akibat kemarau.
Sehingga 6 Oktober, lebih 7.02 juta liter air bersih telah diagihkan ke beberapa kawasan terjejas, manakala sebanyak 47 tindakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan kebakaran hutan turut dilaksanakan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

