Angkasawan Pakistan bakal jadi warga asing pertama ke stesen Tiangong

Dari kiri: Muhammad Zeeshan Ali, Tang Hongbo dan Wu Yi ketika menghadiri sidang media menjelang misi penerbangan angkasa Shenzhou-24 ke Stesen Angkasa Tiangong milik China di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, China pada Selasa.- FOTO: Agensi
Dari kiri: Muhammad Zeeshan Ali, Tang Hongbo dan Wu Yi ketika menghadiri sidang media menjelang misi penerbangan angkasa Shenzhou-24 ke Stesen Angkasa Tiangong milik China di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, China pada Selasa.- FOTO: Agensi
A
A
A

JIUQUAN – China bakal mencipta sejarah baharu dalam penerokaan angkasa lepas apabila menghantar angkasawan Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali, ke Stesen Angkasa Tiangong menerusi misi Shenzhou-24 pada Rabu.

Pelancaran kapal angkasa berkenaan dijadualkan berlangsung jam 8.18 pagi waktu Beijing (waktu Malaysia) pada 25 November dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China.

Agensi Angkasa Berawak China (CMSA) mengumumkan perkara itu dalam sidang media pada Selasa, sekali gus memperkenalkan tiga anggota kru yang bakal menyertai misi berkenaan.

Misi itu diketuai angkasawan berpengalaman China, Tang Hongbo, bersama Wu Yi dan Muhammad Zeeshan Ali dari Pakistan.

Ali bakal mencipta sejarah sebagai angkasawan asing pertama yang menyertai misi penerbangan berawak China ke Stesen Angkasa Tiangong.

Beliau akan bertindak sebagai pakar muatan dan dijangka menghabiskan kira-kira seminggu di stesen berkenaan sebelum kembali ke Bumi menggunakan kapal angkasa Shenzhou-23.

Sepanjang berada di orbit, Ali akan menyertai beberapa eksperimen saintifik hasil kerjasama penyelidikan antara China dengan Pakistan, termasuk dalam bidang bioteknologi dan sains bahan.

Menurut laporan Associated Press (AP), empat projek saintifik bersama akan dilaksanakan dalam misi berkenaan, termasuk eksperimen berkaitan mikroorganisma fotosintesis.

Sementara itu, Tang Hongbo bakal melakar satu lagi pencapaian apabila menjadi angkasawan pertama yang mengunjungi Stesen Angkasa Tiangong sebanyak tiga kali.

Beliau sebelum ini menyertai misi Shenzhou-12 dan Shenzhou-17, sekali gus memiliki pengalaman luas dalam penerbangan angkasa lepas.

Wu Yi pula yang merupakan anggota kumpulan ketiga angkasawan China bakal melaksanakan penerbangan pertamanya ke angkasa lepas.

Misi Shenzhou-24 turut bertujuan melaksanakan pertukaran kru di stesen angkasa, penyelenggaraan rutin serta meneruskan penyelidikan saintifik dan eksperimen teknologi di orbit.

Penyertaan Ali merupakan hasil kerjasama strategik China-Pakistan dalam bidang penerokaan angkasa lepas susulan perjanjian kerjasama yang dimeterai kedua-dua negara pada Februari 2025.

Di bawah perjanjian itu, Pakistan menghantar dua calon angkasawan untuk menjalani latihan di China sebelum seorang daripada mereka dipilih menyertai misi ke Tiangong.

China kini memperluas kerjasama antarabangsa dalam program angkasa lepasnya ketika negara itu terus memperkukuh kedudukannya sebagai kuasa utama penerokaan angkasa, termasuk menyasarkan penghantaran manusia ke Bulan menjelang 2030.

Misi Shenzhou-24 bakal menjadi penerbangan berawak pertama dalam program angkasa China yang melibatkan penyertaan angkasawan asing. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!