Indonesia tidak akan isytihar kebakaran hutan sebagai bencana nasional buat masa ini

JAKARTA - Indonesia tidak akan mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan di negara itu sebagai bencana nasional buat masa ini, sambil menyatakan ia masih berupaya menangani krisis berkenaan.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kabinet terhad yang dipengerusikan Presiden Prabowo Subianto di Istana Merdeka di Jakarta pada Isnin.
"Belum lagi, belum lagi. Kami masih berupaya menanganinya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Dudung berkata, tawaran bantuan antarabangsa tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu, sambil mengakui kebimbangan berhubung jerebu merentas sempadan yang menjejaskan negara jiran, termasuk Malaysia.
"Memang ada maklum balas daripada negara lain berhubung kebakaran hutan ini, namun kita telah berusaha secara maksimum,” katanya sambil menzahirkan harapan agar situasi itu dapat diselesaikan segera.
Pada 8 Oktober, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi Prabowo berhubung isu jerebu berkenaan dan menyampaikan kesediaan Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran.
Sementara itu, Dudung berkata, Prabowo telah mengarahkan usaha pemadaman kebakaran ditumpukan di Taman Negara Tanjung Puting dan kawasan terjejas lain di Kalimantan Tengah, serta Sumatera Selatan.
"Tanjung Puting dan kawasan di sekitar taman negara itu mesti dilindungi kerana terdapat hidupan liar di sana,” katanya.
Taman negara berkenaan terkenal di peringkat antarabangsa bagi program pemuliharaan dan rehabilitasi orang utan.
Awal Isnin, Ahli Suruhanjaya Keempat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Daniel Johan menggesa kerajaan mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan itu sebagai bencana nasional serta bersikap terbuka terhadap bantuan antarabangsa, termasuk tawaran sokongan pemadaman kebakaran daripada Malaysia.
Daniel berkata, skala krisis itu memerlukan kerjasama serantau dan menerima bantuan luar tidak sepatutnya dilihat sebagai satu kelemahan.
Sementara itu, Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni memberi amaran bahawa pihak berkuasa mesti kekal berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk tempoh sebulan lagi, memandangkan hujan tidak dijangka melanda beberapa bahagian di Indonesia sehingga pertengahan November atau Disember.
Semasa pemeriksaan operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Liang Anggang di Banjarbaru, Kalimantan Selatan pada Isnin, beliau berkata, kerajaan sedang bersiap sedia untuk menggantung atau membatalkan lesen perniagaan lima atau enam lagi syarikat berikutan pelanggaran berkaitan kebakaran.
Tindakan telah diambil terhadap 26 syarikat, termasuk lima pemegang konsesi perhutanan di Kalimantan yang lesen mereka dibatalkan pada 21 September, katanya. Konsesi berkenaan merangkumi kira-kira 92,464 hektar, dengan anggaran 1,169 hektar daripadanya terjejas akibat kebakaran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
