KKM sasar satu digit jangkitan Covid-19 minggu depan

Noor Hisham bercakap pada sidang media mengenai perkembangan semasa wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Noor Hisham bercakap pada sidang media mengenai perkembangan semasa wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan satu digit jangkitan kes baharu pandemik Covid-19 minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan pelan perancangan yang dilaksanakan KKM dan kementerian lain.

"Kalau rakyat boleh terus duduk rumah dan KKM bekerjasama dengan kementerian lain dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan dikenal pasti, kita boleh kurangkan (jangkitan baharu) bawah 10 kes," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, apa yang perlu dilaksanakan adalah kawalan sempadan bagi mengurangkan kes import.

"Kita telah sekat pelancong luar negara datang tetapi warganegara Malaysia kita terpaksa menerima mereka dan melaksanakan perintah kuarantin di pusat kuarantin," katanya.

Beliau berkata, tindakan itu berjaya mengesan 95 kes positif dalam kalangan mereka.

"Kalau kita biarkan (tidak kuarantin), 95 kes ini akan menjangkiti komuniti kerana seorang boleh menjangkiti 120 individu lain," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat mengurangkan jumlah individu yang dijangkiti dalam komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Dan kalau kita boleh duduk di rumah, kebarangkalian untuk dijangkiti adalah kurang.

"Jadi kita lihat dengan pelaksanaan PKP 1,2 dan 3, kita berjaya mengurangkan jangkitan setempat dan hasilnya kes positif baharu di bawah 100 kes," katanya.

Menurutnya, sekiranya momentum kerjasama dengan semua pihak termasuk rakyat duduk di rumah, sasaran itu dapat dipenuhi.

"Tidak mustahil untuk kita kurangkan kes tetapi kita perlu tingkatkan tindakan bersama. Ia bergantung kepada rakyat Malaysia dan tindakan barisan hadapan," katanya.