Harta batil bukan hak kita

MAINS jelaskan harta diperoleh secara haram wajib dikembalikan semula haknya

USTAZ Ahmad Naim (tengah) ketika menjadi ahli panel dalam Podcast POV Sinar Islam Plus.
USTAZ Ahmad Naim (tengah) ketika menjadi ahli panel dalam Podcast POV Sinar Islam Plus.
A
A
A

HARTA yang banyak secara fizikalnya belum tentu boleh membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan, apatah lagi jika ia diperoleh daripada sumber yang bercanggah dengan syariat Islam.

Mudah untuk difahami ialah harta batil merupakan sesuatu yang pada zahirnya seakan-akan milik kita, malah mungkin nama kita tertera pada geran rumah, kenderaan atau akaun bank, namun hakikatnya ia diperoleh melalui jalan yang tidak dibenarkan syarak.

Demikianlah mukadimah yang dikemukakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ustaz Ahmad Naim Azlan ketika menjadi ahli panel dalam Podcast POV Sinar Islam Plus bertajuk Harta Batil.

Ujarnya, antara contoh harta batil yang jelas termasuklah hasil perjudian, curi, rompak, penipuan dan aktiviti scam.

“Sebagai contoh perbuatan berjudi dan kemudiannya menang wang tunai RM200,000. Hasil perjudian ini orang Islam tetap tidak boleh ambil kerana ia jelas diharamkan dalam Islam.

“Apabila duit itu digunakan membeli rumah secara tunai, ia tetap merupakan harta batil yang diperoleh melalui jalan salah atau haram, walaupun atas geran terpampang nama kita,” jelasnya.

Beliau menyambung, perkara yang lebih mencabar dalam masyarakat ialah apabila berdepan sumber pendapatan yang mempunyai unsur syubhah atau kesamaran antara halal dan haram.

Syubhah sering dipandang ringan

Ustaz Ahmad Naim memberikan contoh seorang kontraktor yang menerima upah memasang papan tanda bagi premis yang ada menjual barangan haram seperti arak.

Artikel Berkaitan:

USTAZ AHMAD NAIM
USTAZ AHMAD NAIM

Katanya, sekiranya seseorang mampu mengelakkan pekerjaan yang mempunyai unsur tersebut, maka ia wajar dielakkan.

“Namun, sekiranya sesuatu pekerjaan itu mempunyai percampuran antara aktiviti halal dan haram, masyarakat perlu memahami batasnya dan tidak sekadar mengambil pendekatan bahawa haram hanya sedikit berbanding yang halal.

“Apa yang halal itu jelas dan yang haram pun jelas. Tetapi yang syubhah ini yang menjadi masalah. Harta yang samar-samar dan mempunyai syubhah ini perlu diberi perhatian serta ada kiraan peratusannya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadikan jumlah keuntungan sebagai ukuran utama dalam menentukan sesuatu pekerjaan itu baik atau tidak.

Banyak harta bukan ukuran mulia

Menurut Ustaz Naim, antara kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah mengukur kedudukan seseorang berdasarkan banyaknya harta yang dimiliki.

“Ada yang beranggapan seseorang yang mempunyai rumah besar, kereta mewah dan kehidupan selesa sudah tentu berada dalam keadaan baik. Hakikatnya, Islam tidak meletakkan ukuran sedemikian.

“Sebagai contoh dia terlibat dengan pelaburan forex yang jelas haram dan mempunyai rumah besar dan harta banyak, kita nampak elok sahaja. Namun Islam tidak meletakkan ukuran seperti itu.

“Luaran seseorang itu tidak semestinya menggambarkan dirinya yang sebenar,” katanya.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya harta benda dan anak-anak kamu hanyalah ujian.” (Surah at-Taghabun: 15)

Menurutnya, harta yang diperoleh secara haram atau batil bukan sahaja tidak membawa keberkatan, malah boleh menjadi fitnah atau ujian kepada pemiliknya.

HARTA yang halal membawa kepada keberkatan dan ketenangan dalam hidup.
HARTA yang halal membawa kepada keberkatan dan ketenangan dalam hidup.

Sebaliknya, apabila harta diperoleh melalui sumber yang baik dan halal, seseorang akan lebih mudah berasa cukup dan tenang.

Harta haram tidak boleh 'dicuci' dengan ibadah

Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Naim menegaskan bahawa harta yang jelas haram tidak boleh digunakan untuk tujuan ibadah seperti wakaf, infak atau sedekah bagi mendapatkan pahala.

“Kalau harta itu jelas haram, tidak boleh kita buat wakaf, infak atau zakat menggunakan harta tersebut.

“Tidak boleh membuat kebaikan dengan kebatilan. Kalau harta itu hak kita dan diperoleh daripada sumber yang halal, maka dipersilakan. Tetapi kalau ia hak orang lain atau sumbernya jelas haram, ia tidak boleh sama sekali,” katanya.

Beliau turut menyentuh persoalan berkaitan wang pampasan insurans konvensional yang diterima selepas kematian seseorang.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dilihat dengan teliti dan tidak boleh disamakan dengan harta halal yang diperoleh daripada sumber yang dibenarkan syarak.

HARTA dari sumber yang haram tidak memberi ketenangan kepada pemiliknya walau ia banyak sekalipun.
HARTA dari sumber yang haram tidak memberi ketenangan kepada pemiliknya walau ia banyak sekalipun.

Katanya, masyarakat perlu diberikan kesedaran supaya tidak melihat jumlah wang yang besar semata-mata sehingga mengetepikan persoalan halal dan haram.

Menurut beliau, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran berkaitan sumber pendapatan yang diperoleh benar-benar halal.

Beliau berkata, institusi agama seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut memainkan peranan dalam mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap persoalan halal dan haram dalam pemilikan harta.

“Cari harta yang halal. Bila harta itu baik dan sumbernya baik, kita akan rasa cukup. Itu yang paling penting,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!