Kontroversi KP AKPS: JPA tunggu keputusan AGC

Wan Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan atas jasa dan perkhidmatan kepada Siti Zaitun (kanan) pada Khamis.
Wan Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan atas jasa dan perkhidmatan kepada Siti Zaitun (kanan) pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum sebarang tindakan dibuat berhubung kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kes berkenaan sudah menjadi kes polis dan disiasat pihak berkuasa berkenaan.

“Kes Datuk Seri Shuhaily ini kes polis dan sudah selesai siasatan. Hasil siasatan juga sudah sampai ke AGC.

“Jadi, kena tunggu apa yang diputuskan oleh AGC dulu, saya tidak boleh mengulas lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Santuni Pesara di sebuah pusat jagaan warga emas di Telipot, di sini pada Khamis.

Sebelumnya, pada Khamis, AGC memulangkan kertas siasatan berhubung insiden membabitkan Mohd Shuhaily kepada Polis Diraja Malaysia.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam kenyataan sebelum ini menyatakan beberapa aspek dalam siasatan perlu diteliti dan dilengkapkan sebelum kes itu dimuktamadkan.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pengesahan ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain beberapa perkara relevan lain yang berbangkit.

Mohd Shuhaily sebelum ini menjadi perhatian selepas rakaman CCTV beliau memarahi seorang individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wan Ahmad Dahlan, AGC dan Peguam Negara yang akan meneliti hasil siasatan polis sebelum menentukan sama ada terdapat kes untuk tindakan lanjut atau sebaliknya.

Dalam perkembangan Program Santuni Pesara, Wan Ahmad Dahlan ke Kelantan bagi menziarahi tiga pesara perkhidmatan awam di Bachok dan Kota Bharu dan menyampaikan sumbangan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah pesara Pembantu Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Mohd Nazar Abu Bakar, 61; pesara Pegawai Perkhidmatan Bukan Siswazah di Kementerian Pendidikan Malaysia, Lee Choon Seng, 90; dan pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Kementerian Pendidikan Malaysia, Siti Zaitun Abdullah, 78.

Wan Ahmad Dahlan berkata, kunjungan berkenaan menjadi tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa mereka yang pernah berkhidmat kepada negara.

“Jumlah pesara yang dikunjungi meningkat dari tahun ke tahun, daripada lapan pada 2024 kepada 21 pesara pada tahun lepas dan 34 pesara tahun ini.

“Kami akan terus menziarahi mereka kerana jasa dan budi yang ditabur pesara tak mampu dibalas dan sangat tinggi nilainya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!