Kontroversi KP AKPS: AGC pulangkan kertas siasatan, arah lengkapkan keterangan Shuhaily dan CCTV

KUALA LUMPUR - Rakaman keterangan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain serta pengesahan ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikaitkan dengan kes tular baru-baru ini diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan semula kertas siasatan kes itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis.
Menurutnya, beberapa aspek dalam siasatan perlu diteliti dan dilengkapkan sebelum sebarang tindakan lanjut berhubung kes itu dimuktamadkan.
"Pihak polis perlu mendapatkan rakaman percakapan Ketua Pengarah AKPS, pengesahan ketulenan rakaman CCTV serta beberapa perkara relevan bagi melengkapkan siasatan.
"Kertas siasatan dipulangkan semula hari ini (Khamis) kepada PDRM bagi tujuan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, PDRM merujuk kertas siasatan itu kepada AGC pada Selasa lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kertas siasatan itu dirujuk kepada AGC untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum itu, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaan menerima apa sahaja keputusan atau tindakan kerajaan susulan insiden video tular di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 28 September lepas.
Berhubung insiden itu, laporan diterima daripada dua anggota polis berhubung dakwaan mereka telah dikasari secara fizikal oleh Mohd Shuhaily.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Berikutan itu, polis sudah merakam percakapan seramai 25 orang saksi terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
