'Siasat sekali dalang sebar video, bukan Ketua Pengarah AKPS sahaja' - Tuan Ibrahim

GOMBAK - Ketegasan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain wajar diberikan pujian, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, pihaknya secara peribadi menyokong tindakan Mohd Shuhaily dalam menjalankan operasi di pintu masuk udara negara.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Insiden video tular: Ketua Pengarah AKPS tahan ‘ulat’ warga asing depan mata
'Saya tidak mahu KLIA jadi macam Selayang' - Mohd Shuhaily
Katanya, ketegasan yang dipamerkannya memang memberi kesan kepada keselamatan negara secara langsung.
Justeru, menurutnya, kerajaan perlu melakukan siasatan menyeluruh terhadap individu yang merakam kejadian tersebut dan bukan Mohd Shuhaily sahaja.
"Bila beliau (Mohd Shuhaily) mendapat maklumat dan membuat pemantauan, pada saya ada pihak luar yang tak ada kena-mengena buat rakaman, ia tak sepatutnya berlaku seolah-olah tiba-tiba ditularkan kejadian tersebut.
"Jadi, kita perlu menghormati pandangan dan ketegasan Mohd Shuhaily. Dalam masa sama, kerajaan mesti membuat siasatan menyeluruh siapa dalang yang menghantar dua orang tersebut, bukan siasat Mohd Shuhaily sahaja.
"Siasat juga kenapa ada ketirisan di peringkat lapangan terbang terutamanya bahagian kargo," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Majlis Konvokesyen Kulliyyah 'Ulum Islamiyyah Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini pada Sabtu.
Tular video di media sosial memaparkan Mohd Shuhaily memarahi individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan melakukan sentuhan fizikal terhdap individu berkenaan.
Pada masa sama, tular salinan laporan polis tentang individu yang didakwa dikasari Mohd Shuhaily.
Susulan itu, Mohd Shuhaily ketika sidang akhbar pada Khamis menyatakan kesediaan untuk menerima apa sahaja keputusan atau tindakan kerajaan ke atasnya.
Beliau sudah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai kejadian yang berlaku pada 28 September lepas.
“Bagi saya, untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga. Sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” kata Mohd Shuhaily.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
