Terima 33 aduan petrol, KPDN Pulau Pinang periksa 30 stesen minyak

Michael (kiri) menerangkan mengenai lori tangki petrol yang terdapat di Depoh Chevron kepada Jegan.
Michael (kiri) menerangkan mengenai lori tangki petrol yang terdapat di Depoh Chevron kepada Jegan.
A
A
A

PERAI- Sebanyak 33 aduan berkaitan masalah kenderaan selepas mengisi petrol diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, membabitkan 30 stesen minyak di negeri ini.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, setakat ini lapan sampel petrol daripada stesen minyak serta kenderaan atau bengkel milik pengadu terawal telah diambil untuk tujuan analisis.

“Bagi lapan pengadu terawal, kita sudah mengambil sampel minyak dari stesen serta kenderaan mereka untuk dihantar bagi analisis,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke depoh syarikat minyak di sini pada Khamis.

Jegan menambah, sampel tambahan turut diambil dari depoh berkenaan bagi membantu siasatan dan mengenal pasti sama ada terdapat sebarang pencemaran atau masalah terhadap bahan api terbabit.

Katanya, keputusan analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia dijangka mengambil masa kira-kira sebulan, bergantung kepada proses pemeriksaan yang dijalankan.

“Secara normal, prosesnya mengambil masa sebulan. Kita cuba mendapatkan keputusan lebih awal, mungkin dalam tempoh dua hingga tiga minggu, tetapi ia bergantung kepada Jabatan Kimia.

“Kita tidak boleh memberi tekanan kepada mereka kerana analisis perlu dilakukan dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pengadu yang mendakwa kenderaan mereka mengalami kerosakan selepas mengisi petrol termasuk mendakwa berlaku kerosakan kekal pada kenderaan.

“Jenis aduan yang diterima berbeza-beza, namun secara keseluruhannya mereka mengesyaki berlaku gangguan atau campuran pada bahan api selepas mengisi minyak.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kita belum boleh membuat sebarang kesimpulan kerana siasatan masih dijalankan,” katanya.

Menurut Jegan, pemeriksaan terhadap stesen minyak dilakukan susulan setiap aduan yang diterima dan bukan secara rawak.

“Setiap aduan yang diterima perlu kita siasat secara berasingan. Cuma jika terdapat aduan berulang membabitkan stesen sama, kita tidak perlu mengambil sampel berkali-kali.

“Sebaliknya, sampel daripada setiap pengguna yang membuat aduan akan kita dapatkan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di depoh juga penting bagi mengesan sebarang kemungkinan pencemaran sebelum bahan api dihantar ke stesen minyak.

Dalam pada itu, Jegan menasihatkan pengguna supaya tidak membuat sebarang kesimpulan atau menuding jari kepada mana-mana jenama minyak sehingga keputusan analisis diperoleh.

“Buat masa ini kita masih belum jumpa apa-apa yang berlainan. Siasatan masih sedang dilakukan dan pihak kerajaan juga belum mengeluarkan sebarang keputusan.

“Kita tidak mahu berlaku 'brand killing' kerana mereka juga memberikan kerjasama kepada KPDN dan mahu membantu membersihkan keadaan.

“Tunggu keputusan Jabatan Kimia. Selepas itu baru kita boleh menentukan sama ada bahan api tercemar atau tidak, apa yang mencemarkannya, bila dan bagaimana pencemaran itu berlaku,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna yang mengalami masalah selepas mengisi petrol supaya membuat aduan kepada KPDN serta menggunakan saluran aduan yang disediakan syarikat minyak terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, Jurucakap Depoh Chevron, Michael Keh berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap tangki penyimpanan bawah tanah di stesen minyak serta tangki simpanan depoh bagi memastikan tiada kehadiran air dalam bahan api.

Katanya, air dan petrol mempunyai ketumpatan berbeza dan kedua-duanya akan berpisah sekiranya bercampur.

“Air dan petrol boleh bercampur tetapi disebabkan perbezaan ketumpatan antara minyak dan air, kedua-duanya akan berpisah selepas satu tempoh.

“Sepatutnya tiada air dalam tangki. Kami memeriksa tangki bawah tanah di stesen minyak serta tangki simpanan di depot ini.Sekiranya terdapat air, ia perlu dikeluarkan dengan proses saliran di bahagian bawah tangki,” katanya.

Bagaimanapun, Michael berkata, hasil pemeriksaan setakat ini mendapati tiada kehadiran air dalam tangki yang diperiksa di depoh berkenaan.

“Dalam keadaan ini, kita tidak menemui sebarang air,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!