Tiada kesan air dalam tangki RON95 stesen minyak Batu Kawan - KPDN

BATU KAWAN - Pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mendapati tiada kesan kehadiran air atau pencemaran dalam tangki simpanan RON95 di sebuah stesen minyak di kawasan Batu Kawan.
Pemeriksaan itu dilakukan susulan hantaran tular di media sosial yang mendakwa berlaku masalah terhadap kenderaan selepas mengisi petrol RON95 di stesen minyak berkenaan.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, pemeriksaan dan penelitian lanjut dilaksanakan secara bersama wakil syarikat minyak serta pengusaha stesen terbabit bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurutnya, pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada kemungkinan kehadiran air atau pencemaran dalam tangki simpanan serta sistem pengeluaran bahan api.

“Pasukan pemeriksaan membuat semakan menyeluruh terhadap rekod Automatic Tank Gauge (ATG) bagi tangki RON95 termasuk bacaan semasa pemeriksaan dan rekod bagi tempoh tiga hari terdahulu.
“Hasil semakan mendapati tiada bacaan yang menunjukkan kehadiran air dalam tangki sepanjang tempoh yang diperiksa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau menambah, pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian 'tank sump' turut dijalankan namun tidak menemukan sebarang pengumpulan air selain pemeluwapan biasa.
“Pemeriksaan secara manual melalui proses dipping di kedua-dua tangki RON95 turut dilaksanakan menggunakan Water Finding Paste (WFP) yang disapukan pada kayu pengukur sebelum dimasukkan ke dalam tangki.
“Sekiranya terdapat air dalam tangki, sapuan WFP akan menunjukkan perubahan warna sebagai petunjuk kehadiran air,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati tiada perubahan warna pada WFP dan tiada tanda kehadiran air dikesan dalam kedua-dua tangki RON95 berkenaan.
"Pemeriksaan secara visual terhadap bahan api yang dikeluarkan daripada semua muncung pam juga mendapati petrol berkenaan kelihatan jernih dan tiada pencemaran dapat dikesan melalui pemerhatian mata kasar," ujarnya lagi.
Menurutnya, KPDN Pulau Pinang, wakil syarikat minyak dan pengusaha stesen akan terus bekerjasama melaksanakan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan perkara itu ditangani secara menyeluruh.
“Pada masa sama, kepentingan dan keselamatan pengguna sentiasa diberi keutamaan.
“Sekiranya terdapat maklumat atau aduan daripada pengguna yang mempunyai kaitan dengan isu berkenaan, KPDN bersedia mendapatkan maklumat lanjut serta menjalankan pemeriksaan atau siasatan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Jegan berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berdasarkan maklumat yang tular di media sosial.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkannya kepada KPDN menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN di eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar EzADU KPDN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

