Petron siasat dakwaan pencemaran RON95 di Utara

Petron Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi pada Isnin.
Petron Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Petron Malaysia mengambil serius laporan berhubung dakwaan pencemaran petrol RON95 beberapa stesen minyak di wilayah Utara susulan tular dakwaan pengguna mengalami masalah kenderaan selepas mengisi bahan api berkenaan.

Petron Malaysia memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan tersebut.

"Keselamatan pelanggan dan kualiti produk adalah keutamaan kami,” menurut Petron Malaysia dalam kenyataan pada Isnin.

Petron Malaysia turut meminta pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkara berkenaan menghubungi pasukan Khidmat Pelanggan Petron.

Perkembangan tersebut susulan penularan beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa kenderaan mengalami masalah termasuk gagal dihidupkan selepas mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak Pulau Pinang.

Hantaran berkenaan turut mendakwa masalah tersebut dipercayai berpunca daripada petrol yang tercemar atau bercampur air, namun dakwaan itu masih belum disahkan.

Pemeriksaan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Batu Kawan juga tidak menemui sebarang kesan kehadiran air atau pencemaran dalam tangki simpanan RON95.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, pemeriksaan dan penelitian lanjut dilaksanakan secara bersama wakil syarikat minyak serta pengusaha stesen terbabit bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada kemungkinan kehadiran air atau pencemaran dalam tangki simpanan serta sistem pengeluaran bahan api.

Artikel Berkaitan:

Semakan rekod Automatic Tank Gauge (ATG) termasuk bacaan semasa pemeriksaan dan tempoh tiga hari terdahulu juga tidak menunjukkan kehadiran air dalam tangki.

Pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian tank sump turut tidak menemukan pengumpulan air selain pemeluwapan biasa.

Selain itu, pemeriksaan manual menggunakan Water Finding Paste (WFP) pada kedua-dua tangki RON95 tidak menunjukkan perubahan warna yang menjadi petunjuk kehadiran air.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!