Petrol campur air: 'Jika benar, stesen minyak perlu bertanggungjawab - Cake

Laporan Sinar Harian mengenai dakwaan petrol dicampur air. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal Yusoff
Laporan Sinar Harian mengenai dakwaan petrol dicampur air. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR – Stesen minyak perlu bertanggungjawab terhadap kerugian pengguna sekiranya hasil analisis mengesahkan bahan api RON95 mengandungi bahan asing, kata Persatuan Pengguna Kedah (Cake).

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan yang tular di media sosial berhubung kerosakan kenderaan selepas pengguna mengisi petrol RON95 di beberapa stesen minyak.

Menurutnya, Cake menghargai tindakan pantas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah yang menjalankan pemeriksaan terhadap 11 stesen minyak di negeri ini susulan aduan berkenaan.

“Cake berharap keputusan analisis sampel yang diambil dapat dimaklumkan kepada pengguna dengan segera.

“Jika terdapat unsur bahan asing dalam RON95, tindakan terhadap stesen minyak yang terlibat perlu dibuat supaya menjadi pengajaran dan memastikan perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya pada Selasa.

Pada Isnin, KPDN Kedah menjalankan pemeriksaan terhadap 11 stesen minyak di beberapa daerah di negeri ini susulan dakwaan bahan api petrol disyaki bercampur dengan air yang tular di media sosial.

Pemeriksaan itu membabitkan empat stesen minyak di Alor Setar, dua di Kubang Pasu, dua di Sungai Petani dan tiga di Kulim dengan pemeriksaan tertumpu kepada bahan api Petrol RON95.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan dilakukan susulan aduan serta hantaran di media sosial yang mendakwa petrol bercampur dengan air sehingga menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.

Menurutnya, KPDN turut mengambil sampel bahan api dari stesen terbabit dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi menentukan sama ada terdapat unsur bahan asing dalam RON95.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Yusrizal berkata, kerosakan akibat bahan api bermasalah boleh membabitkan enjin kenderaan manakala kos pembaikan yang perlu ditanggung pengguna juga tinggi.

Katanya, kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku dan Cake mendapati isu seumpama ini pernah berlaku tiga tahun lalu.

“Cake berharap proses analisis dapat dipercepatkan supaya pengguna mendapat penjelasan berhubung dakwaan berkenaan dan tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya terdapat pelanggaran,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!