Dah 35 kali kena notis, masih liat nak bayar

Kisah MyEG dan JPJ ini buat Merak Jalanan garu kepala.
Kisah MyEG dan JPJ ini buat Merak Jalanan garu kepala.
A
A
A

KITA biasa dengar cerita marhaen runsing. Masuk bulan kedua ansuran kereta tak dibayar, notis rasmi boleh sampai dan proses tarik kenderaan bermula. Itu disiplin untuk rakyat biasa.

Sebab itu kisah MyEG dan JPJ ini buat Merak Jalanan garu kepala. Isunya bukan sekadar RM314 juta hasil kerajaan belum dipindahkan. Persoalannya, mengapa sampai 35 notis peringatan dalam empat bulan?

Mengikut syarat kutipan, hasil itu sepatutnya dipindahkan dalam tempoh T+1. Hari ini kutip, esok masuk akaun kerajaan.

RM314 juta bukan duit kecil. Rakyat sudah bayar melalui MyEG. Duit sudah keluar daripada poket, tetapi belum sampai ke tabung kerajaan.

Nilainya hampir menyamai tiga minggu kutipan JPJ. Wang itu membantu membiayai sekolah, hospital dan perkhidmatan awam.

Sebab itu cerita ini bukan sekadar pertikaian syarikat dengan JPJ. Ini soal siapa menjaga duit selepas rakyat selesai membayarnya.

Lebih pelik, belum jelas mengapa wang yang sudah dikutip itu tidak dipindahkan. Cek RM231 juta yang diserahkan pula tidak diproses selepas arahan syarikat.

Apa sebenarnya berlaku kepada wang itu? Kalau sekali dua lewat, mungkin boleh difahami. Tetapi kalau sampai 35 kali, mengapa tindakan lebih keras tidak dibuat lebih awal?

Akhirnya perkhidmatan MyEG digantung. Selepas itu, barulah muncul cadangan penyelesaian. Nampaknya satu penggantungan lebih mujarab daripada 35 peringatan.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan bukan kata kerajaan berdiam diri. Ada notis dan pertemuan. Tetapi apabila wang awam tertunggak berbulan-bulan, angka 35 tetap susah diterima.

Kalau rakyat biasa tahu tunggakan ada akibat, pihak yang memegang hasil kerajaan pun patut tahu perkara sama.

Kalau 35 kali pun belum cukup, mungkin bukan peringatan yang perlu ditambah. Tindakan perlu dipercepat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!