Pahang rujuk kes 155 pelancong asing ke kedutaan

Dari kiri Andansura, Mohd Sharkar dan Idros pada sidang media.
Dari kiri Andansura, Mohd Sharkar dan Idros pada sidang media.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan merujuk kepada kedutaan asing terlibat berkaitan 155 pelancong yang terkandas di negeri ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pihaknya akan menulis secara rasmi kepada kedutaan asing berkaitan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan warga asing terlibat diberi perhatian oleh kedutaan negara masing-masing.

Menurutnya, hasil pertemuan pihaknya dengan pelancong asing mendapati beberapa aduan yang perlu diselaraskan memandangkan kesemua mereka tidak boleh kembali ke negara masing-masing.

Beliau berkata, empat perkara utama yang akan diselaraskan ialah perhubungan dengan keluarga, pembaharuan visa; makan minum dan kesihatan.

"Pertama, kita mahu pastikan mereka telah berhubung dengan keluarga mereka dan memaklumkan mereka OK di sini.

"Kedua soal visa, ada pelancong ini visanya tamat esok. Kita ada jawatankuasa yang akan menghubungi Kementerian Luar Negeri untuk membantu urusan renew visa mereka ini sebab mereka tidak boleh ke mana-mana semasa PKP.

"Ketiga hal makan minum. Tidak semua hotel atau penginapan membenarkan mereka memasak dan lokasi mereka juga ada yang jauh dari akses Grab Food atau food delivery. Ini kita akan lihat.

"Keempat soal kesihatan. Ini antara perkara perkara yang kita akan tulis kepada kedutaan mereka. Saya percaya kedutaan mereka tahu tapi jika kerajaan negeri tulis secara rasmi, mereka akan lebih peka dan ambil perhatian serius," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tujuh pelancong asing terkandas di Maznah Guess House Cherating.
Tujuh pelancong asing terkandas di Maznah Guess House Cherating.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan soal jawab khas bersama tujuh warga asing yang terkandas di Maznah Guess House Cherating di sini petang semalam.

Tujuh warga asing tersebut masing-masing dari Poland (2), Francisco (1), Luxembourg (1), Itali (1), United Kingdom (1) dan Netherlands (1).

Mohd Sharkar berkata, setakat ini pihaknya sedang mengenalpasti jumlah pelancong asing yang terkandas dengan menghubungi pengusaha-pengusaha hotel dan homestay yang lain menerusi Tourism Pahang dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang (MOTAC).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, pihaknya memohon Majlis Perbandaran K membenarkan mana-mana restoran berdekatan untuk beroperasi bagi membantu warga asing tersebut membeli makanan.

Menurutnya setakat ini, ketujuh-tujuh mereka bergantung dengan bantuan makanan dan memasak dari pengusaha hotel.