Dari pasar malam ke kolaborasi Proton-Uniqlo

SHAH ALAM – Bermula sekadar melukis kereta klasik sebagai hobi, karya tangan Syaiful Bahri Ahmad Tajuddin kini terpampang pada kemeja-T dan beg kanvas menerusi kolaborasi eksklusif Proton bersama jenama fesyen terkenal Jepun, Uniqlo.
Syaiful atau lebih dikenali sebagai O’matajari berkata, kolaborasi itu bermula apabila lukisan yang dikongsikan di media sosial mendapat perhatian pihak berkenaan, sekali gus membuka ruang kepadanya mengetengahkan karya ke pasaran lebih luas.
Pelukis kelahiran Pahang itu berkata, pada peringkat awal beliau diminta menghasilkan ilustrasi bagi lima model Proton iaitu Saga, Satria Neo R3, S70, X50 dan e.MAS7.
“Bila hantar draf pertama, mereka terima tetapi ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Saya cuba buat sebaik mungkin sebab saya mahu benda ini jadi.
“Memang teruja sebab peluang macam ini bukan selalu datang. Dalam masa sama saya tertanya-tanya juga, boleh ke saya hasilkan karya yang mereka mahukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Syaiful, pengalaman melihat hasil karyanya dicetak pada kemeja-T dan beg kanvas memberi makna tersendiri selepas bertahun-tahun menghasilkan lukisan atas dasar minat.
“Bila dah siap dan saya pergi tengok sendiri, barulah rasa terharu sedikit. Selama ini saya lukis sebab minat, ada jual pada kawan-kawan, tapi tak sangka akhirnya boleh sampai ke tahap ini,” katanya.
Syaiful berkata, minat dalam bidang seni mula bercambah ketika berusia 10 tahun sebelum mendorongnya melanjutkan pengajian dalam bidang grafik dan pengiklanan di Artes College, Ipoh, dari 1995 hingga 1998.
Selepas tamat pengajian, beliau bersama seorang rakan mula menjual kad raya hasil lukisan tangan di pasar malam sepanjang Ramadan, bermula pada 2000 hingga 2006.
“Kami lukis kad raya dengan tangan dan jual di pasar malam setiap Ramadan. Masa itu seronok sebab dapat berjumpa pelanggan dan mereka boleh terus tengok hasil lukisan kami,” katanya.
Disebabkan rindu untuk berkarya, Syaiful kembali menghasilkan lukisan pada 2014 dengan melukis bangunan lama sebelum memberi tumpuan kepada kereta klasik, terutama model Jepun dan Eropah yang menjadi antara subjek kegemarannya.
“Bila mula melukis balik pada 2014, saya mula dengan lukis bangunan lama dan kereta sebab saya memang minat kereta lama. Bagi saya reka bentuknya lebih unik dan ada estetik bila dilukis,” kongsinya.
Bapa kepada dua anak itu menjelaskan, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 menyebabkan perniagaan fotografi yang diusahakan semakin perlahan sebelum beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan kembali melukis dengan menggunakan kaedah lukisan digital.
"Sebelum ini saya memang melukis pakai pen dan warna air tapi semasa PKP saya cuba kaedah baru sebab pada masa itu perniagaan saya terkesan dan saya terpaksa berhenti. Jadi saya belajar kaedah digital.
“Saya cari cara untuk dapatkan hasil yang hampir sama dengan lukisan analog. Saya tak mahu bila orang tengok terus nampak ini lukisan digital. Jadi saya sendiri kena cari cara, praktik dan belajar untuk dapatkan hasil yang saya mahu,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
