Tak puas hati kerap minta duit, adik pukul abang hingga maut

KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang abang yang kerap meminta wang daripada keluarga dipercayai menjadi punca dia dibunuh adik kandungnya sendiri dalam kejadian di Kampung Banggol Tasek, Bukit Payong di Marang pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa lelaki berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dipukul menggunakan objek tumpul.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, siasatan mendapati motif utama kejadian menjurus kepada rasa tidak puas hati suspek berusia 42 tahun itu terhadap mangsa yang didakwa sering meminta wang daripada keluarga.
Menurutnya, suspek yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental dan menerima rawatan di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) dipercayai sudah lama memendam rasa marah terhadap mangsa yang turut mempunyai rekod kes narkotik.
"Suspek berasa tidak puas hati dengan abangnya yang dikatakan kerap meminta wang, sebelum hilang kawalan dan bertindak menyerang mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini pada Ahad.

Tambah beliau, adik perempuan mereka berusia 36 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan turut cedera parah selepas dipukul suspek.
"Mangsa wanita itu mengalami luka di bahagian belakang kepala, patah ibu jari kanan, serta luka pada limpa sebelah kiri berdasarkan imbasan CT scan dan kini dirawat di HSNZ," ujarnya.
Jelas Mohd Khairi, suspek berjaya ditahan polis di tepi jalan Bandar Bukit Payong sejurus selepas kejadian, manakala pasukan Forensik JSJ IPK Terengganu turut merampas beberapa barang kes di lokasi berkenaan.
"Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini (Ahad) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

