Perhilitan Perak sahkan terima aduan gangguan beruang matahari di Gerik

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima beberapa aduan berhubung kehadiran serta gangguan beruang matahari di kawasan penempatan penduduk di Gerik.
Pengarah Perhilitan Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, aduan awal diterima pada 9 September lepas yang melibatkan lokasi di Taman Raflesia, sebelum beberapa siri gangguan baharu dilaporkan di kawasan berhampiran.
"Aduan seterusnya direkodkan pada 12 dan 16 September di Kampung Air Panas diikuti insiden pada 18 September serta terbaharu pada 28 September lepas di Kampung Ulu Kenderong.
"Kehadiran haiwan liar itu mendatangkan ketakutan dan mengganggu ketenteraman awam selepas dikesan berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 26 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan kelibat seekor beruang matahari berkeliaran di kawasan perumahan penduduk.
Pazil berkata, bagaimanapun hingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kerosakan harta benda mahupun tanaman akibat gangguan pemangsa berkenaan.
Beliau berkata, pihak Perhilitan telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan pemantauan berterusan di lokasi terjejas dan memasang perangkap khas bagi menangkap haiwan itu.
"Orang ramai terutama komuniti setempat juga perlu melaporkan kepada pihak Perhilitan sekiranya mengesan sebarang pergerakan baharu haiwan berkenaan dan tidak mengambil tindakan sendiri,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
