Exco Kerajaan Negeri Sembilan sahkan terima surat pembatalan jawatan

SEREMBAN - Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Sembilan, Suhaimizan Bizar mengesahkan menerima surat pembatalan jawatan berkuat kuasa serta merta malam Ahad.
Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
"Saya ada terima surat malam tadi melalui Whatsapp. Tapi saya tak boleh komen. Maaf ya.
"Saya pun tak pasti siapa yang hantar, rasanya daripada Istana," katanya ringkas menerusi Whatsapp.
Sementara itu, Sinar Harian cuba menghubungi beberapa Exco lain bagi mendapatkan perkembangan lanjut berhubung pembatalan jawatan berkenaan, namun gagal.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam ini, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

