97 aduan gangguan seksual berjaya diselesaikan melalui TAGS

BUTTERWORTH - Sebanyak 97 daripada 142 aduan gangguan seksual yang difailkan di Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) berjaya diselesaikan sehingga 20 September lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, perkembangan itu menunjukkan saluran yang disediakan melalui Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] perlu terus dimanfaatkan oleh individu yang berdepan gangguan seksual.
Menurutnya, TAGS merupakan antara mekanisme penting di bawah Akta 840 yang menyediakan saluran alternatif kepada mangsa gangguan seksual untuk mendapatkan penyelesaian secara lebih mudah, cepat dan pada kos yang berpatutan.
“Angka ini menunjukkan bahawa saluran yang disediakan perlu terus dimanfaatkan supaya individu yang terkesan mempunyai ruang untuk tampil mendapatkan pembelaan dan mempertahankan maruah diri,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Terdahulu, Hui Ying menghadiri Program Toleransi Sifar Keganasan: Respects The Boundaries di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling di sini.
Hui Ying berkata, sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu sebaliknya turut menjadi ruang membentuk akhlak, nilai, keyakinan diri dan rasa hormat terhadap orang lain bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berhemah dan berbudi bahasa.
Katanya, usaha menangani kes buli, gangguan seksual dan keganasan memerlukan kerjasama merentasi kementerian dan tidak boleh diletakkan sebagai tanggungjawab satu kementerian sahaja.
“Sebagai contoh, apabila berlaku kes di sekolah, walaupun sekolah berada di bawah Kementerian Pendidikan, isu seperti buli adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima dan perlu ditangani bersama.
“Sebab itu kita mesti ada advokasi, pencegahan dan kesedaran. Apabila sesuatu perkara berlaku, kaunseling juga sangat penting,” katanya.
Menurutnya, walaupun setiap sekolah mempunyai guru kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mempunyai kaunselor profesional yang boleh membantu sekiranya diperlukan.
“Di JKM, kita juga mempunyai ramai kaunselor profesional. Jadi, bila-bila masa sekolah memerlukan khidmat kaunselor daripada JKM, kita bersedia untuk membantu,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui kejadian seperti buli, gangguan seksual dan keganasan tidak boleh dinafikan sepenuhnya kerana ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.
“Kita tidak boleh nafikan bahawa perkara seperti ini tidak akan berlaku di sekolah. Ia boleh berlaku di mana-mana.
“Apa yang boleh kita lakukan buat masa ini adalah memperkukuh advokasi dan sentiasa mengingatkan pelajar, bukan sahaja anak murid tetapi juga guru-guru,” katanya.
Beliau berkata, aspek kesihatan emosi dan tekanan yang dihadapi individu juga perlu diberi perhatian kerana setiap orang mempunyai tekanan masing-masing termasuk tekanan emosi dan kewangan.
“Jadi adalah mustahak untuk kita mengenal pasti perkara ini lebih awal supaya kita boleh mengelakkan banyak tragedi daripada berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, ujar Hui Ying, keselamatan kanak-kanak dan remaja merupakan antara fokus utama kerajaan, selaras dengan komitmen untuk memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang selamat, bermaruah dan bebas daripada keganasan serta gangguan.
Katanya, komitmen itu diterjemahkan melalui pelbagai langkah perundangan, perlindungan dan advokasi termasuk penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] yang menyediakan kerangka lebih menyeluruh dalam menangani gangguan seksual selain memperkukuh perlindungan kepada mangsa.
Menurutnya, kesedaran dan keberanian untuk bersuara juga penting kerana undang-undang serta mekanisme perlindungan sahaja tidak mencukupi.
“Setiap individu perlu mengetahui hak masing-masing, mengenali bentuk gangguan seksual dan mengetahui saluran yang sesuai untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Hui Ying menambah, gangguan seksual bukan perkara yang wajar dianggap sebagai gurauan atau dipandang ringan kerana ia tidak semestinya melibatkan sentuhan fizikal.
“Gangguan juga boleh berlaku melalui kata-kata, mesej, komen atau perlakuan berunsur lucah dan seksual.
“Walaupun sesetengah perlakuan mungkin kelihatan kecil pada pandangan orang lain, kesannya terhadap individu yang mengalaminya boleh menjadi serius sehingga menyebabkan mereka berasa tidak selesa, takut, terancam, malu atau terhina,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan.
Katanya, sebanyak 477 kes direkodkan pada 2022, meningkat kepada 522 kes pada 2023, 788 kes pada 2024 dan 1,038 kes pada 2025.
“Sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 388 kes telah dilaporkan di seluruh negara, termasuk 29 kes di Pulau Pinang.
“Angka-angka ini tidak seharusnya dilihat sebagai statistik semata-mata kerana di sebalik setiap laporan, terdapat individu yang mungkin berhadapan dengan ketakutan, tekanan dan pengalaman yang memberi kesan kepada kehidupan mereka,” katanya.
Menurutnya, peningkatan jumlah laporan pada masa sama boleh mencerminkan kesedaran yang semakin baik serta keberanian lebih ramai individu untuk tampil mendapatkan bantuan.
“Justeru, setiap aduan perlu didengar dengan serius, dikendalikan secara berhemah dan disusuli tindakan melalui saluran yang sewajarnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

