USDA ketengahkan produk halal berkualiti sempena MIHAS 2026

DAVID H Gamble Jr (kanan) percaya kejayaan bersama mampu dicapai dengan kerjasama Amerika Syarikat dan Malaysia.
DAVID H Gamble Jr (kanan) percaya kejayaan bersama mampu dicapai dengan kerjasama Amerika Syarikat dan Malaysia.
A
A
A

SEMPENA Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 baru-baru ini, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengetengahkan produk makanan dan pertanian berkualiti menerusi empat badan pensijilan halal mereka.

Ia sekali gus memperlihatkan keupayaan pengeluar dari negara tersebut memenuhi keperluan pensijilan halal selain menonjolkan kerjasama antara Amerika Syarikat dan Malaysia dalam memperkukuh perdagangan produk halal serta rantaian bekalan makanan.

Empat badan pensijilan halal itu ialah Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA), Islamic Services of America (ISA), American Halal Foundation (AHF) dan Islamic Society of the Washington Area (ISWA).

ANTARA produk halal yang dipamerkan di reruai USDA sempena MIHAS 2026.
ANTARA produk halal yang dipamerkan di reruai USDA sempena MIHAS 2026.

IFANCA, ISA dan AHF merupakan badan pensijilan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), manakala ISWA pula sedang melalui proses pengiktirafan jabatan sama.

Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat, David H Gamble Jr berkata, pengiktirafan badan pensijilan halal AS oleh Jakim membuktikan kejayaan yang mampu dicapai kedua-dua negara menerusi kepercayaan bersama.

“Kerjasama ini mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala selain membantu memperluas rantaian bekalan makanan yang lebih berdaya tahan untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, USDA memaklumkan eksport produk pertanian Amerika Syarikat ke Malaysia berjumlah kira-kira AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) pada 2025.

Artikel Berkaitan:

Antara produk utama yang dieksport termasuk kacang soya, produk tenusu, buah-buahan segar, kekacang serta sayur-sayuran.

Sempena MIHAS 2026, USDA mempersembahkan demonstrasi makanan secara langsung oleh cef selebriti tempatan, Sid Murshid.

CEF Sid Murshid melakukan demonstrasi masakan di reruai USDA sempena MIHAS 2026.
CEF Sid Murshid melakukan demonstrasi masakan di reruai USDA sempena MIHAS 2026.

Menurut Sid Murshid, aspek halal bukan sekadar berkaitan pematuhan terhadap keperluan makanan, malah ia turut berkait rapat dengan kepercayaan pengguna.

“Bagi rakyat Malaysia, halal adalah mengenai kepercayaan dan keyakinan terhadap makanan yang kita makan.

“Makanan juga merupakan antara cara paling mudah untuk masyarakat dari negara berbeza berhubung dan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu turut diadakan forum yang disertai empat badan pensijilan halal yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang dikendalikan Pakar Perdagangan Antarabangsa dan Peneraju Halal USDA, Abraham Inouye.

Forum turut membincangkan sektor halal Amerika Syarikat serta sistem yang membolehkan produk pertanian negara itu menembusi pasaran Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!