Sijil halal Malaysia terunggul di dunia – Dr Zulkifli

DR ZULKIFLI (tiga dari kiri) bersama Adam Corrie (dua dari kiri) dan tetamu jemputan selepas melakukan gimik pelancaran.
DR ZULKIFLI (tiga dari kiri) bersama Adam Corrie (dua dari kiri) dan tetamu jemputan selepas melakukan gimik pelancaran.
A
A
A

SIJIL Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) menjadi nilai tambah yang mampu meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka peluang lebih luas kepada pemain industri menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menjelaskan, sijil halal Malaysia diiktiraf lebih 50 negara di seluruh dunia, sekali gus menjadikannya antara penanda aras penting dalam industri halal global.

Menurutnya, sebanyak 101 badan pensijilan halal luar negara diiktiraf Jakim dan ia mencerminkan kedudukan Malaysia dalam memastikan standard serta integriti pensijilan halal di peringkat antarabangsa.

"Pensijilan halal Malaysia dianggap sebagai gold standard dalam industri halal dunia. Apabila sesebuah syarikat memperoleh sijil halal Malaysia, ia satu pengiktirafan yang cukup besar.

"Jadi, apabila Kopihut berjaya mendapatkan sijil halal ini, ia sudah menjadi champion in the world," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Halal Kopihut di Cyberjaya baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, kerajaan turut menyediakan insentif menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pensijilan halal.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

“Geran sebanyak RM5,000 disediakan kepada PMKS bagi tujuan itu, manakala insentif RM25,000 pula diperuntukkan untuk membantu syarikat dalam sektor kosmetik dan farmaseutikal mendapatkan pensijilan halal.

Artikel Berkaitan:

“Oleh sebab itu saya berharap lebih banyak syarikat mengambil peluang tersebut dan Jakim akan terus memainkan peranan membantu serta mempermudah urusan permohonan pensijilan halal tanpa mengabaikan aspek pematuhan standard yang ditetapkan,” ujarnya.

Keyakinan pengguna meningkat

Menurut Dr Zulkifli, pensijilan halal turut memberikan kesan positif kepada perkembangan perniagaan apabila keyakinan pengguna terhadap sesebuah produk atau premis meningkat.

Beliau berkongsi pengalaman ketika mengunjungi sebuah restoran di Kuching, Sarawak yang menyaksikan peningkatan keuntungan selepas memperoleh sijil halal.

"Apabila mereka mendapat sijil halal, keuntungan meningkat berlipat kali ganda. Kita percaya ada keberkatan dan kerahmatan dalam usaha yang dilakukan iaitu mendapatkan sijil halal ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan syarikat yang memperoleh keuntungan hasil perkembangan perniagaan supaya turut menunaikan tanggungjawab sosial menerusi pembayaran zakat.

DR ZULKIFLI (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan dan orang ramai pada Majlis Pelancaran Halal Kopihut di Cyberjaya baru-baru ini.
DR ZULKIFLI (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan dan orang ramai pada Majlis Pelancaran Halal Kopihut di Cyberjaya baru-baru ini.

Katanya, Pusat Pungutan Zakat di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyediakan program wakalah yang membolehkan sebahagian daripada bayaran zakat diagihkan semula kepada pihak yang layak, termasuk golongan asnaf mengikut ketetapan ditentukan.

Halal nilai sejagat

Mengulas lanjut mengenai konsep halal, Dr Zulkifli berkata, ia tidak seharusnya dilihat sebagai perkara eksklusif untuk umat Islam semata-mata, sebaliknya membawa nilai sejagat yang memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat.

Jelasnya, konsep halalan toyyiban merangkumi aspek kebersihan, kelestarian, kesihatan dan keberkatan, sekali gus menjadikan pensijilan halal relevan kepada pengguna tanpa mengira agama dan bangsa.

ADAM CORRIE (dua dari kanan) turut menerima plak penghargaan pembayaran zakat perniagaan yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
ADAM CORRIE (dua dari kanan) turut menerima plak penghargaan pembayaran zakat perniagaan yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

"Halal bukan hanya bersih, tetapi turut merangkumi aspek sustainable (kelestarian), kesihatan dan keberkatan. Ia satu konsep universal yang boleh diterima semua pihak.

"Pada masa sama, industri halal juga berupaya merapatkan hubungan antara kaum, bangsa dan agama dalam negara kita," katanya dengan mengambil contoh apa yang telah dilakukan oleh Pengasas Kopihut, Adam Corrie Lee Abdullah.

Beliau turut memuji usaha Adam Corrie yang mengambil inisiatif mendapatkan pensijilan halal bagi perniagaannya, sekali gus memperlihatkan komitmen untuk menjadikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan lebih inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, usaha tersebut juga selari dengan semangat keterangkuman dalam industri halal yang membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama-sama membangunkan sektor itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!