ADUN Gual Ipoh dari Bersatu pula dibatalkan sebagai Timbalan Exco

KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Bahari Mohamad Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilucutkan dari jawatan Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan berkuatkuasa 11 November lalu.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Bersatu Kelantan, Mohd Wira Arjuna Muhamad menerusi satu kenyataan media pada Isnin.
Beliau telah dimaklumkan berhubung surat rasmi berkenaan yang menyentuh pembatalan pelantikan wakil rakyat tersebut.
"Perkara ini dimaklumkan untuk perhatian semua pihak," katanya dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak memperincikan sebab pembatalan pelantikan Bahari yang juga ADUN Gual Ipoh itu.
Terdahulu, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor sah digugurkan sebagai exco kerajaan negeri berkuat kuasa pada 9 November lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


