Kumpul dana untuk pesalah yang dihukum

Soalan
Apakah hukum kita mengumpul dana untuk membantu pesalah yang dihukum pecah amanah?
Jawapan
Mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah, ada hukuman yang bersifat tidak boleh diubah seperti hukum hudud dan ada yang boleh diubah serta tidak terhad hukumannya seperti takzir.
Hukuman takzir sebagai contoh ialah hukuman penjara dan denda dengan harta. Hukuman denda dengan harta atau duit ini, para ulama berbeza pendapat mengenainya.
Sebahagian ulama tidak membenarkannya manakala sebahagian kecil yang lain membenarkan dengan alasan hukuman tersebut tidak terhad.
Kebanyakan ulama kontemporari pula membenarkan hukuman denda dengan harta. Jadi, hukuman seperti saman kerana tidak membayar parkir, melanggar lampu merah dan sebagainya itu dibenarkan dalam Islam.
Ia juga sebagai salah satu cara untuk membuatkan orang yang melakukan kesalahan itu insaf dan menjadi pengajaran kepada orang ramai yang lain.
Berbalik kepada soalan, jika kita mahu membantu pesalah yang telah dihukum itu, kita perlu melihat apakah bantuan itu akan menyebabkan pesalah tersebut insaf atau masih kekal melakukan kesalahan?
Secara umumnya, ada ulama yang bersetuju dan sebahagian lain tidak bersetuju dengan perbuatan membantu pesalah tersebut. Dalam Islam, sesuatu perkara atau perbuatan itu dilihat kepada maqasid atau objektifnya.
Perbuatan membantu tersebut boleh disandarkan kepada ayat al-Quran: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam melakukan kebaikan dan ketakwaan serta janganlah kamu bertolong-tolong dalam melakukan perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah: 2)
Sekiranya dia sudah insaf, kita tengok dia pun sudah berubah dan kita mahu bantu atas dasar dia tidak mampu, maka dalam keadaan itu ia dibenarkan dan sebaliknya. Jadi, sebelum membantu pesalah tersebut, kita perlu membuat penilaian terlebih dahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

