Dua kereta rosak ditimpa pokok tumbang

IPOH – Dua buah kereta rosak selepas dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Simpang Pulai-Lahat, Station 18 berhampiran sebuah pasar raya, di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.26 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh kemudian dikejarkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian.
“Pokok tumbang itu menimpa dua kenderaan iaitu Perodua Bezza dan Perodua Alza. Terdapat enam mangsa daripada kedua-dua kenderaan tersebut.
“Mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
Katanya, anggota bomba kini menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok bagi mengalihkan pokok yang menghempap kedua-dua kenderaan berkenaan.
“Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi dengan menggunakan dua buah jentera.
“Maklumat lanjut mengenai kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

