MIHAS 2026 catat jualan RM6.78 bilion

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 merekodkan jumlah jualan RM6.78 bilion sepanjang empat hari penganjurannya dari 23 hingga 26 September lalu, meningkat RM730 juta atau 12 peratus berbanding RM6.05 bilion yang dicatatkan pada 2025.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), pencapaian itu turut melepasi sasaran jualan RM5 bilion sebanyak RM1.78 bilion atau 35.5 peratus, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“MIHAS 2026 membuktikan bahawa platform ini bukan sahaja berkembang dari segi nilai jualan, malah berjaya mewujudkan peluang lebih besar kepada perniagaan Malaysia.
“Kami kekal komited memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan untuk memperluas kehadiran mereka di pasaran global, khususnya di pasaran baharu dan bukan tradisional,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Matrade berkata, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) muncul sebagai penyumbang terbesar kepada nilai jualan keseluruhan apabila menjana RM4.02 bilion, meningkat RM394.5 juta atau 10.9 peratus berbanding RM3.63 bilion pada tahun lalu.
Menurutnya, pameran MIHAS pula merekodkan nilai jualan RM1.99 bilion, meningkat RM103.9 juta atau 5.5 peratus berbanding RM1.89 bilion pada 2025.
“Antara produk utama yang menyumbang kepada jualan pameran ialah makanan diproses, teknologi makanan dan pembungkusan, makanan sejuk beku serta baja dan agrokimia,” katanya.
Matrade menjelaskan prestasi memberangsangkan itu turut didorong peningkatan penyertaan PKS Malaysia.
Sebanyak 339 syarikat PKS menyertai MIHAS 2026 berbanding hanya 64 syarikat pada 2021, mewakili peningkatan sebanyak 429.7 peratus dalam tempoh enam edisi penganjuran.
Katanya, PKS Malaysia turut merekodkan nilai jualan RM620 juta pada MIHAS 2026, meningkat RM63 juta atau 11.3 peratus berbanding RM557 juta yang dicatatkan tahun lalu.
“Pencapaian jualan RM6.78 bilion di MIHAS 2026 mencerminkan potensi besar industri halal Malaysia.
“Dengan integrasi Agentic Kecerdasan Buatan (AI), MIHAS kini berkembang sebagai ekosistem perdagangan yang lebih terhubung dan berdaya digital.
“Ia membantu syarikat Malaysia mengenal pasti bakal pembeli, membina hubungan perniagaan yang lebih bermakna serta meneroka peluang eksport baharu melangkaui ruang pameran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, MIHAS 2026 berjaya menarik 69,104 pengunjung dari 93 negara, meningkat 37.3 peratus berbanding 50,340 pengunjung pada tahun lalu.
Lebih 22,000 sesi padanan perniagaan dibantu teknologi Agentic AI telah dijalankan sepanjang penganjuran MIHAS 2026, dengan 324 padanan berjaya menghasilkan nilai jualan sebanyak RM28 juta.
“Di bawah Platform Perdagangan Digital MADANI (MDTP), kami akan menyediakan kesalinghubungan berterusan antara pengeksport Malaysia dan pembeli global serta membantu mereka merebut peluang eksport yang mampan,” katanya.
Menurut Matrade, platform AI tersebut akan terus beroperasi sehingga 2027 bagi membolehkan syarikat yang terlibat meneruskan hubungan perniagaan, berinteraksi dengan bakal pembeli dan meneroka peluang perdagangan baharu selepas tamat pameran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
