BR1M tak mampu atasi kemiskinan

Najib dalan sesi wawancara secara eksklusif dihoskan oleh Kamarulzaman Habibur Rahman yang disiarkan menerusi laman Facebook Umno-Online.
Najib dalan sesi wawancara secara eksklusif dihoskan oleh Kamarulzaman Habibur Rahman yang disiarkan menerusi laman Facebook Umno-Online.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Menurut pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, pendekatan tersebut diakui dapat menambah pendapatan rakyat namun tidak mampu untuk mengurangkan tekanan hidup.

"Jika isi rumah menerima bantuan RM1,000 dan dibahagikan kepada 12 bulan mereka hanya menerima RM90 sebulan. Persoalannya dengan jumlah yang kecil ini berapa banyak tekanan hidup yang mampu dikurangkan.

"Skim jangka pendek ini secara psikologinya dapat membantu kumpulan pendapatan B40 tetapi kesan dari segi materialnya sangat kecil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BR1M berjaya membantu mengatasi kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Semalam, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan muncul wawancara eksklusif ‘Suara dari Jauh’ bertajuk ‘Mencari Kebenaran, Soalan Berani, Jawapan Ikhlas’ yang disiarkan secara langsung malam tadi di laman Facebook Umno-Online.

Dalam wawancara tersebut menjelaskan, pendekatan Kerajaan BN untuk memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bertujuan untuk membolehkan hasil daripada cukai tersebut disalurkan kepada rakyat.

Menurut beliau, bantuan yang paling mudah ialah dalam bentuk wang tunai kerana rakyat dapat membelanjakan wang tersebut untuk pelbagai perkara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Barjoyai menjelaskan, keperluan hidup di negara ini dianggarkan pada kadar RM2,530 sebulan namun malangnya lebih 50 peratus daripada rakyat di negara ini berpendapatan kurang daripada RM2,000.

"Jika seseorang itu dapat gaji sebanyak RM2,000 maka tambahan BR1M sebanyak RM90 menjadi RM2,090 dan angka ini masih belum mampu mencapai kadar RM2,530 sebulan," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkankaedah yang paling berkesan untuk mengatasi kemiskinan ialah dengan membimbing golongan tersebut untuk meningkatkan pendapatan yang lebih terjamin dan berpanjangan.

"Antaranya ialah memupuk budaya keusahawan yang mungkin boleh dilaksanakan dengan bimbingan daripada golongan pesara-pesara yang memiliki kemahiran tertentu atau pelajar-pelajar teknologi maklumat.

"Dengan bantuan ini maka isi rumah yang terlibat dapat terlibat dalam bidang keusahawanan yang mampu menjana pendapatan yang lumayan sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 sebulan dan tidak perlu lagi bergantung kepada bantuan," katanya.