1,426 kes baharu Covid-19 di Singapura

Singapura mengenakan perintah duduk di rumah untuk pekerja migran termasuk di sektor pembinaan selama 14 hari berkuat kuasa pada 20 April berikutan Covid-19. - FOTO AFP
Singapura mengenakan perintah duduk di rumah untuk pekerja migran termasuk di sektor pembinaan selama 14 hari berkuat kuasa pada 20 April berikutan Covid-19. - FOTO AFP
A
A
A

SINGAPURA - Singapura melaporkan jumlah tertinggi kes baharu harian iaitu sebanyak 1,426 kes koronavirus (Covid-19) hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kini mencecah 8,014 kes.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan berkata, sebilangan besar kes baharu itu adalah dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

"Kami masih meneliti perincian kes dan kemas kini lebih lanjut akan dikongsi melalui siaran media MOH yang akan dikeluarkan malam ini.

"Sebanyak 16 kes baru yang dikesan adalah melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap," kata kementerian itu.

Singapura kini merupakan negara yang paling teruk dilanda wabak Covid-19 di Asia Tenggara, mengatasi angka di Indonesia dan Filipina.

Sebanyak 18 asrama pekerja asing telah diwartakan sebagai kawasan pengasingan berikutan jumlah kes jangkitan Covid-19 yang terus meningkat.

Sehingga semalam, kluster asrama pekerja asing S11@Punggol kekal sebagai kluster terbesar dengan catatan sebanyak 1,508 kes.

Antara kluster lain termasuk di Sungei Tengah Lodge dengan 521 kes dikesan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kementerian Tenaga Kerja (MOM) dan Pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) berkata, walaupun peningkatan jangkitan baru-baru ini melibatkan sejumlah pekerja asing di asrama pekerja, terdapat juga kes dikesan di tapak pembinaan.

Oleh itu, semua pemegang permit kerja dan pemegang S Pass di sektor pembinaan telah diberi notis duduk di rumah wajib sehingga 4 Mei sebagai langkah pencegahan terhadap penyebaran wabak itu.