Ferdinand, Enrique mahu trofi City diserahkan kepada United, Liverpool

City berdepan hukuman berat termasuk disingkirkan daripada EPL.
City berdepan hukuman berat termasuk disingkirkan daripada EPL.
A
A
A

BEKAS pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand dan bekas pemain Liverpool, Jose Enrique mencetuskan tuntutan supaya kedua-dua kelab berkenaan dianugerahkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) secara retrospektif susulan keputusan Manchester City didapati bersalah atas hampir keseluruhan pertuduhan pelanggaran kewangan.

Ferdinand yang pernah menjadi tonggak utama United ketika kelab itu menamatkan saingan di tempat kedua di belakang City pada musim 2011-12 tidak mengambil masa lama untuk memberikan reaksinya terhadap keputusan tersebut.

Menerusi hantaran di platform X, legenda United itu secara berseloroh meminta supaya koleksi pingat kejuaraannya ditambah selepas keputusan berhubung salah laku kewangan City pada era berkenaan.

“Satu lagi pingat Liga Perdana untuk dimasukkan ke dalam kabinet,” tulis Ferdinand.

Pada musim 2011-12, United terpaksa akur dengan kedudukan naib juara selepas City muncul juara menerusi detik dramatik pada hari terakhir saingan.

Tuntutan sama turut disuarakan bekas pertahanan kiri Liverpool, Jose Enrique yang mengaitkan keputusan itu dengan musim 2013-14 apabila The Reds turut terlepas peluang menjulang trofi EPL.

Liverpool ketika itu menamatkan saingan dua mata di belakang City selepas kempen penuh dramatik.

Enrique kemudian mencuri perhatian apabila memuat naik gambar dirinya yang disunting seolah-olah sedang menggilap trofi Liga Perdana sambil meminta pihak liga menghantar pingat kejuaraan kepadanya.

“Ia sudah berada di sini!!! Terima kasih Liga Perdana dan hantarkan pingat saya secepat mungkin,” tulis bekas pemain Sepanyol itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pengumuman rasmi daripada Liga Perdana berhubung bentuk hukuman susulan keputusan tersebut.

Antara hukuman yang dilaporkan berpotensi dikenakan terhadap City termasuk denda besar, pemotongan mata yang signifikan atau kemungkinan penyingkiran daripada EPL.

Manchester City pula sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang mempertimbangkan pilihan perundangan yang ada, termasuk kemungkinan mencabar keputusan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!