Mbappe dedah hampir sertai Liverpool

KYLIAN Mbappe mendedahkan beliau pernah hampir menyertai Liverpool pada 2017, malah ibunya, Fayza Lamari ketika itu berharap anaknya memilih kelab gergasi Liga Perdana Inggeris berkenaan.
Penyerang Perancis yang ketika itu baru berusia 18 tahun sedang mencuri tumpuan bersama AS Monaco sebelum menjadi rebutan kelab-kelab ternama Eropah termasuk Liverpool, Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG).
Mbappe berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan pengurus Liverpool ketika itu, Jurgen Klopp dalam sebuah pesawat persendirian di selatan Perancis.
"Ia ketika saya bermain untuk Monaco dan saya perlu membuat keputusan. Ya, saya hampir menyertai Liverpool.
"Ibu saya sangat meminati Jurgen Klopp dan Liverpool adalah destinasi pilihannya. Dia mahu saya pergi ke sana.
"Tetapi saya tidak mendengarnya kerana saya mahu bermain di bandar sendiri, Paris. Saya tidak mahu meninggalkan negara sebelum saya menjadi seseorang pemain yang bagus," katanya dalam temu bual bersama The Athletic.
Menurut Mbappe, ibunya sanggup berkunjung ke Anfield bagi merasai sendiri suasana stadium berkenaan sebelum membuat keputusan mengenai masa depan anaknya.
"Dia pergi ke sana untuk langkah pertama rundingan. Dia ke bandar itu, ke stadium dan bertemu dengan orang di sana.
"Dia berkata ia kelab yang hebat, semua orang sangat baik, ia sebuah keluarga dan kelab besar.
"Dia pergi ke Anfield dan jatuh cinta dengannya. Dia menonton beberapa perlawanan seorang diri untuk merasai suasana kerana dia mahu membayangkan saya bermain di stadium itu," katanya.
Mbappe turut mengakui mempunyai hubungan baik dengan Klopp ketika pertemuan mereka, selain menyimpan rasa hormat tinggi terhadap pengendali dari Jerman itu.
"Setiap kali kami bercakap, saya akan bertanya, 'Apa pendapat ibu?' Dia akan berkata, 'Bagi saya, kamu perlu pergi ke Liverpool.'
"Saya jawab, 'OK, OK, OK!' kerana Jurgen Klopp adalah pengurus yang luar biasa. Saya bertemu dengannya dan mempunyai hubungan yang baik. Saya sangat menghormatinya," katanya.
Bagaimanapun, Mbappe akhirnya memilih untuk kekal di Perancis apabila menyertai PSG secara pinjaman daripada Monaco pada musim 2017/18 sebelum perpindahan itu dijadikan tetap dengan nilai sekitar £166 juta.
Keputusan tersebut hadir selepas Mbappe membantu Monaco menjuarai Ligue 1 pada musim 2016/17, selain menjaringkan 15 gol dalam 29 penampilan liga dan enam lagi gol ketika pasukan itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Minat Liverpool terhadap Mbappe bagaimanapun tidak pernah berkurang apabila kelab itu turut dikaitkan dengan bintang Perancis berkenaan pada 2022 ketika kontraknya bersama PSG menghampiri penghujung.
Namun, Mbappe akhirnya menolak Liverpool dan Real Madrid untuk melanjutkan kontrak bersama PSG sebelum akhirnya menyertai Real Madrid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
