Merab Dvalishvili dakwa diserang Usman Nurmagomedov di lobi hotel

Kekecohan membabitkan Merab Dvalishvili dan Usman Nurmagomedov di sebuah lobi hotel di Abu Dhabi.
Kekecohan membabitkan Merab Dvalishvili dan Usman Nurmagomedov di sebuah lobi hotel di Abu Dhabi.
A
A
A

BINTANG seni bela diri campuran (MMA), Merab Dvalishvili mendakwa menjadi mangsa serangan sekumpulan lelaki termasuk Usman Nurmagomedov dalam insiden kekecohan di sebuah lobi hotel di Abu Dhabi.

Insiden yang tular menerusi media sosial itu menyaksikan Dvalishvili mengalami kecederaan pada bahagian muka sehingga berlumuran darah dan lebam.

Dvalishvili mendakwa kejadian berlaku ketika dia sedang menjalani sesi temu bual bagi promosi Real American Freestyle (RAF) di lobi hotel sebelum Usman bersama beberapa rakannya datang dari arah belakang lalu menyerangnya.

Menerusi satu video yang dikongsikan, Dvalishvili dilihat sedang merakam sesi temu bual sebelum sekumpulan lelaki menghampirinya dan mencetuskan pergaduhan. Seorang lagi rakannya turut dipercayai menjadi mangsa serangan berkenaan.

Dalam video susulan, petarung dari Georgia itu menunjukkan keadaan wajahnya yang berlumuran darah ketika menerima rawatan sambil mendakwa dia dan rakannya diserang secara mengejut.

"Ketika sedang menjalani temu bual di lobi hotel, Usman dan rakan-rakannya datang dari belakang sebelum mula menumbuk saya dan rakan saya.

"Pengawal keselamatan menahan saya, tetapi mereka terus menendang kami ketika terjatuh. Itu tindakan pengecut," katanya.

Dvalishvili turut mempersoalkan tindakan kumpulan berkenaan yang didakwa menyerangnya secara beramai-ramai ketika dia hanya bersama seorang rakan.

Bagaimanapun, setakat ini Usman mahupun kemnya belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Media antarabangsa turut melaporkan Usman dipercayai ditahan polis Abu Dhabi susulan insiden berkenaan dan berdepan kemungkinan hukuman penjara sehingga dua tahun sekiranya didapati bersalah.

Perkembangan itu turut mencetuskan persoalan mengenai masa depan Usman yang dikaitkan dengan perpindahan ke UFC selepas berstatus ejen bebas.

Perseteruan keluarga Nurmagomedov dengan Dvalishvili bukan perkara baharu apabila petarung berusia 35 tahun itu pernah berdepan adik Usman, Umar Nurmagomedov dalam pertarungan kejuaraan kelas bantam UFC pada Januari 2025.

Dvalishvili memenangi pertarungan menerusi keputusan sebulat suara untuk mempertahankan gelaran dunia ketika itu selepas kedua-dua petarung terbabit terlebih dahulu terlibat dalam perang psikologi.

Walaupun mengalami kecederaan dalam insiden terbaharu itu, Dvalishvili dijadualkan meneruskan pertarungan menentang Marlon Moraes dalam acara Real American Freestyle di Abu Dhabi pada Sabtu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!