Rooney label skuad Manchester United lemah

United hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan EPL.
United hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan EPL.
A
A
A

WAYNE Rooney menyifatkan skuad Manchester United ketika ini agak lemah selepas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu melalui permulaan musim yang mengecewakan.

Legenda United itu berpendapat kelab berkenaan sepatutnya membawa masuk lebih ramai pemain pada jendela perpindahan musim panas bagi memperkuatkan pasukan.

United setakat ini hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan pembukaan EPL, sekali gus menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-12 liga dan ketinggalan 10 mata daripada pendahulu.

Keadaan itu turut meningkatkan tekanan terhadap pengendali Michael Carrick yang dilantik secara tetap pada musim panas lalu.

Rooney bagaimanapun percaya bekas rakan sepasukannya itu masih mampu memperbaiki keadaan selepas saingan liga kembali bersambung selepas rehat antarabangsa.

"Tekanan sentiasa ada dan Michael tahu perkara itu. Jika anda tidak memenangi perlawanan di Manchester United, tekanan akan datang walaupun selepas satu kekalahan.

"Permulaan musim ini bukan sesuatu yang ideal. Pada saya, ada beberapa perkara yang sepatutnya dilakukan kelab sebelum jendela perpindahan ditutup, terutama membawa masuk pemain kerana skuad ini agak lemah," katanya kepada talkSPORT.

Rooney turut menggesa Carrick memanfaatkan tempoh rehat antarabangsa untuk mencari formula terbaik bagi mengembalikan United ke landasan kemenangan.

"Dia perlu mencari jalan untuk mendapatkan lebih banyak daripada pemain yang ada dan membawa pasukan naik ke kedudukan lebih baik selepas rehat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir rehat ini hadir pada waktu yang tepat. Dia sudah menunjukkan bahawa dia mampu mendapatkan keputusan daripada kumpulan pemain ini.

"Mereka perlu fokus dan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik," katanya.

Sepanjang jendela perpindahan musim panas, United membawa masuk Youri Tielemans, Carlos Baleba, Andrey Santos dan Karl Darlow.

Bagaimanapun, tiada pemain pertahanan atau penyerang baharu dibawa masuk, manakala Marcus Rashford kembali ke dalam skuad selepas tempoh pinjaman.

Rooney yang pernah melalui pengalaman mengendalikan pasukan turut bersimpati dengan situasi dihadapi Carrick.

"Dia tahu apa yang bakal dihadapinya. Sebagai pengurus, anda sentiasa mahukan lebih banyak pilihan dan saya pasti dia juga mengharapkan lebih banyak pemain daripada jendela perpindahan itu.

"Tetapi sekarang dia perlu bekerja dengan apa yang ada. Liga Perdana semakin kompetitif dan pasukan lain juga semakin kuat.

"Jika anda tidak menang di Manchester United atau mana-mana kelab ketika ini, keadaan memang sukar. Saya harap dia mampu mengubah keadaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!