Liverpool cemas sebelum menang

PENGENDALI Liverpool, Andoni Iraola memuji karakter pemainnya selepas The Reds bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Atletico Madrid 2-1 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis.
Liverpool berdepan permulaan sukar apabila Marcos Llorente meletakkan Atletico di depan menerusi gol kelimanya dalam tiga kunjungan ke Anfield.
Namun, Dominik Szoboszlai menyamakan kedudukan sebelum rehat, sebelum Alexis Mac Allister melengkapkan kebangkitan menerusi gol kemenangan pada separuh masa kedua.
Iraola yang membuat penampilan sulung sebagai jurulatih dalam pertandingan utama Eropah itu menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai sesuatu yang sukar untuk diminta lebih baik.
"Sukar untuk meminta lebih daripada ini. Kami menunjukkan karakter yang hebat, terutama pemain selepas permulaan yang sukar untuk menghasilkan aksi separuh masa kedua seperti itu," katanya.
Pengendali itu turut mengakui teruja dengan pengalaman pertamanya di pentas berkenaan, selain memuji sokongan luar biasa penyokong di Anfield.
"Saya sangat menikmatinya. Suasana begitu luar biasa dan saya rasa bertuah, sangat bertuah dapat mengalaminya," katanya.
Kemenangan itu bagaimanapun sedikit mencemaskan apabila pemain baharu, Bradley Barcola dikeluarkan selepas kira-kira sejam permainan akibat masalah otot.
Iraola menjelaskan pemain yang dibeli daripada Paris Saint-Germain dengan nilai £123 juta (RM678 juta) itu hanya mengalami kekejangan selepas diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama musim ini.
"Ia hanya kekejangan. Kami agak memaksanya kerana dia tidak bermain walau seminit dalam aksi pramusim.
"Itu kemampuan maksimum yang dia ada dan kita lihat bagaimana dia pulih kerana kami akan bermain lagi dalam tempoh tiga hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
