'Samseng jalanan' didakwa empat pertuduhan

Mohd Zamri (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Mas bagi berdepan tuduhan mencederakan anggota polis.
Mohd Zamri (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Mas bagi berdepan tuduhan mencederakan anggota polis.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk mencederakan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di Kampung Atas Pinggir pada Isnin minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Zamri Mustafa,45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Yusoff Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membawa senjata berbahaya di tempat awam tanpa kebenaran iaitu sebatang cota besi pada jam 12.30 tengah hari.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua di lokasi dan tarikh sama, tertuduh didapati sengaja mencederakan seorang lelaki, Mohd Ridwan Mohd Rosli, 36, menggunakan cota besi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, pada tarikh dan lokasi sama antara jam 12 hingga 12.30 tengah hari, tertuduh didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine dan memandu SUV jenis Toyota Herrier di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan kecederaan terhadap pemandu kereta, Mohd Ridwan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi dan tertuduh diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Mei tarikh sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki berang kereta dipotong

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 45 tahun bertindak luar kawalan dengan melanggar dan menghimpit kenderaan jenis Perodua Kancil sehingga terbabas ke dalam parit.

Suspek turut memukul mangsa yang juga pemandu Perodua Kancil berusia 35 tahun dengan menggunakan besi.

Kejadian berpunca suspek yang memandu kereta jenis Toyota Harrier itu berang kepada mangsa memotong kenderaannya.