Trump pilih ‘berlembut’ dengan Houthi

Donald Trump - Foto: AFP
Donald Trump - Foto: AFP
A
A
A

PADA akhir minggu lalu, Amerika Syarikat (AS) hampir melancarkan serangan ketenteraan baharu terhadap kumpulan Houthi, namun Presiden Donald Trump membatalkannya pada saat akhir setelah menilai risiko campur tangan dalam konflik yang dikhuatiri memburukkan lagi situasi di Asia Barat.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara proksi Iran itu dan Arab Saudi terus meningkat.

Tentera AS dilaporkan telah menyediakan senarai dan membuat persiapan untuk melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi selepas pendirian Trump berubah susulan komunikasinya dengan Putera Mahkota, Mohammed Salman.

Namun, pemimpin Republikan itu sekali lagi membuat pusingan U. Keputusan tersebut mencerminkan pendekatan ‘berlembut’ pentadbiran Trump dalam mempertimbangkan tindakan ketenteraan baharu ketika konflik bersama Iran masih belum berakhir.

Sejak beberapa minggu lalu, Washington dan Houthi mengekalkan hubungan komunikasi secara langsung meskipun kumpulan tersebut dianggap sebagai ancaman kepada AS.

Trump sendiri mengakui bahawa Houthi telah menghubunginya manakala Naib Presiden AS, JD Vance mengesahkan wujudnya ‘hubungan langsung’ antara Washington dan Houthi.

Pertemuan itu menunjukkan AS masih mengutamakan saluran diplomatik. Tetapi, usaha serupa dengan Teheran masih berdepan jalan buntu.

AS sebenarnya cuba mengelakkan konfrontasi lebih meluas berikutan kumpulan itu menguasai sebahagian besar kawasan utara Yemen dan berupaya mengancam kapal melalui Laut Merah serta Selat Bab el-Mandeb.

Tindak balas terhadap pangkalan atau aset AS di rantau tersebut juga merupakan antara risiko yang perlu dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Tindakan ketenteraan terhadap Houthi bukan sekadar melibatkan AS dan kumpulan bersenjata di Yemen, sebaliknya turut berkait rapat hubungan Washington-Tehran, keselamatan Arab Saudi, kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan pasaran tenaga.

Meskipun serangan itu dibatalkan, keputusan berkenaan tidak bermakna Washington telah menutup sepenuhnya pilihan ketenteraan terhadap Houthi.

Opsyen itu kekal terbuka, namun bergantung perkembangan di Yemen dan sejauh mana Houthi terus menyasarkan kapal serta kepentingan AS di rantau itu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!