Amaran baharu Iran buat AS

Konflik melibatkan Iran-AS dan sekutu kini memasuki bulan ketujuh. Foto: Agensi
Konflik melibatkan Iran-AS dan sekutu kini memasuki bulan ketujuh. Foto: Agensi
A
A
A

DUBAI – Iran memberi amaran sebarang serangan besar baharu oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya akan mencetuskan tindak balas berterusan terhadap pangkalan serta kepentingan Washington di rantau itu.

Amaran pada Ahad itu dikeluarkan ketika perang AS-Iran menghampiri tempoh tujuh bulan, dengan ketegangan serantau kembali meningkat susulan serangan dron dan peluru berpandu di Arab Saudi.

Pemerintah pusat tentera Iran menerusi media kerajaan mendakwa Teheran mempunyai maklumat bahawa satu serangan baharu sedang dirancang terhadap negara itu.

Bagaimanapun, Iran tidak memperincikan maklumat berkenaan atau mengemukakan bukti mengenai kemungkinan serangan tersebut.

Menurut tentera Iran, sekutu serantau Washington juga akan dianggap sebagai pihak dalam konflik sekiranya serangan baharu dilancarkan.

Amaran Teheran itu menyusul notis keselamatan Jabatan Negara AS pada Sabtu mengenai kemungkinan berlaku peningkatan ketegangan tidak dijangka di Asia Barat.

Washington turut meminta rakyatnya meningkatkan kewaspadaan dan bersedia menghadapi kemungkinan pembatalan penerbangan serta penutupan ruang udara.

Perkembangan itu berlaku ketika kedua-dua pihak masih belum menunjukkan tanda bersedia membuat konsesi besar bagi menamatkan pertempuran yang berlarutan hampir tujuh bulan.

Ketegangan turut merebak ke Arab Saudi selepas kumpulan Houthi yang disokong Iran mendakwa melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran 'sensitif' di Riyadh serta kemudahan minyak di Yanbu pada Sabtu. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!