Bekas suspek Covid-19 degil berjemaah!

Laporan penahanan tujuh jemaah surau semalam.
Laporan penahanan tujuh jemaah surau semalam.
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap tujuh jemaah surau di Parit Husain, Jumaat lalu selepas seorang daripada mereka pernah diklasifikasikan sebagai suspek wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki berkenaan sebelum ini dikesan mempunyai kontak rapat dengan kluster tabligh dan telah diminta menjalani saringan kesihatan.

"Individu itu telah diarah menjalani ujian saringan Covid-19 sebanyak tiga kali dan hasil ujian adalah negatif.

"Bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, dia sepatutnya duduk diam di rumah bagi mengurangkan risiko kemungkinan berlaku jangkitan baharu," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, tujuh lelaki termasuk seorang pelajar berusia 14 tahun ditahan pihak berkuasa selepas didapati berkumpul menunaikan solat secara jemaah di sebuah surau.

Kesemua mereka berusia 14 hingga 64 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.15 malam sebaik selesai solat Isyak atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Omar Bakhtiar Yaacob
Omar Bakhtiar Yaacob

Mengulas lanjut, Omar Bakhtiar berkata, polis terpaksa mengambil tindakan lebih tegas kepada individu yang ingkar selaras dengan pelaksanaan fasa ketiga PKP.

Artikel Berkaitan:

"Fasa pertama dulu, apabila ada jemaah yang berdegil, kita berikan amaran keras, begitu juga pada peringkat fasa kedua yang mana masih beri kelonggaran atas budi bicara.

"Tetapi sekarang sudah masuk fasa ketiga, masih ada jemaah yang mengulangi kesalahan sama.

"Kita terpaksa buat tangkapan supaya dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain menunjukkan pihak berkuasa bertegas dalam mengekang penularan wabak ini," katanya.

Beliau menasihatkan penduduk mematuhi garis panduan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berhubung kebenaran solat jemaah di surau dan masjid bagi mengelak tangkapan dibuat.

"Kesemua tujuh jemaah berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.