Beranikah kahwin lagi secara online?

No Image Caption
A
A
A

KELMARIN Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melaksanakan majlis akad nikah satu pasangan pengantin secara online.

Majlis pernikahan dalam talian menerusi sidang video itu membabitkan pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, yang disempurnakan dalam sekali lafaz.

Majlis diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada jam 10.10 pagi

Walaupun berada dalam kawasan Kuala Lumpur, ia terpaksa dilakukan secara maya bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail melalui Facebook Berita Al Hijrah.

Majlis itu adalah pertama kali diadakan di Malaysia selepas United Arab Emirates (UAE).

Tahniah Merak Jalanan ucapkan kepada kedua-dua mempelai kerana hasrat yang murni berjaya ditunaikan dalam keadaan PKP ini.

Semoga mereka dapat meneruskan kehidupan sebagai pasangan pengantin baru dengan meriah dan kenduri mungkin dapat diadakan selepas tempoh PKP tamat.

Artikel Berkaitan:

Selepas kisah pasangan pengantin kahwin secara online menjadi topik perbincangan di media sosial, Merak Jalanan perhatikan ada posting yang meminta golongan isteri supaya berhati-hati jangan sampai suami masing-masing kahwin lagi secara online.

Nampaknya posting tersebut kurang mendapat sambutan mungkin disebabkan kaum ibu sedang sibuk ketawa terbahak-bahak dalam kumpulan Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari ini.

Mereka ternyata ceria dengan gambar dan komen masakan tak menjadi musim PKP seperti roti Trumph, karipap masak kicap, kek Milo viral dan macam-macam lagi.

Lagi pun mereka tahu, kahwin lagi secara online atau nyata, ia tak akan menjadi kenyataan selagi si suami penakut.