9 hospital KKM mula kajian kombinasi ubat rawat Covid-19

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak sembilan buah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan kajian klinikal bagi menguji keberkesanan dan keselamatan kombinasi ubat Remdesivir, Lopinavir, Ritonavir, Interferon Beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine untuk merawat pesakit wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua hospital terbabit akan mengambil bahagian di dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Solidarity Trial bagi memulakan pengambilan peserta kajian di kalangan pesakit wabak itu yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (Medical Research and Ethics Committee, MREC) telah bekerjasama rapat dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM yang bertindak sebagai badan regulatori yang bertanggungjawab meluluskan penggunaan ubat tersebut dalam kajian klinikal ini.

"Penilaian telah dibuat berdasarkan tiga aspek utama merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat tersebut berdasarkan data-data yang telah dikemukakan," katanya pada sidang akhbar di KKM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, menyedari kepentingan kajian klinikal ini dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, MREC dan NPRA telah berjaya meluluskan protokol penyelidikan dan lesen import kajian klinikal (Clinical Trial Import Licence) bagi ubat Remdesivir itu dalam tempoh singkat iaitu empat hari.

"Kelulusan segera ini telah tercapai melalui komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa MREC, lapan orang penilai NPRA dan pengurusan atasan bagi memastikan penilaian ubat ini adalah berkualiti serta dalam jangka masa ditetapkan.

"Selain itu, kerjasama yang diterima daripada pemohon (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Ampang) dan pihak WHO dengan memberi dokumen-dokumen yang diperlukan oleh MREC dan NPRA dalam masa yang singkat banyak membantu mempercepatkan proses kelulusan tersebut," katanya.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia ini dijangka dapat membantu pencarian ubat bagi menyelamatkan nyawa untuk Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya.

Artikel Berkaitan: